SEGULAI sejalai, frasa bahasa Iban di Sarawak yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya beliau tertarik dengan frasa berkenaan yang menjadi motto dalam majlis sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di Kuching malam ini.
“Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut Segulai Sejalai,” katanya ketika berucap di majlis itu.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Raghad Kurdi Taib menjadi kenamaan utama dalam majlis itu yang turut dihadiri Premier Sarawak, Abang Johari Openg.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas serta beberapa menteri persekutuan dan negeri.
Anwar berkata sudah tiba masanya rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia untuk belajar dari Sarawak bagaimana perpaduan di antara pelbagai kaum dapat digunakan untuk membina negara.
Menurutnya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sering menitahkan mengenai perlunya semangat perpaduan dipupuk dan tidak menimbulkan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Ini kenyataan sekarang. Sarawak dalam beberapa bidang adalah lebih hebat berbanding dengan negeri lain,” katanya.
Pada majlis sama Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan Sarawak untuk inisiatif pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri itu.
Beliau juga berkata peruntukan untuk membaik pulih rumah ibadat yang dilaksanakan di semenanjung, juga akan diberikan kepada Sarawak.
Terdahulu, Douglas Uggah dalam ucapannya memohon kerajaan persekutuan menaikkan peruntukan bagi kerja pengukuran tanah NCR.
Katanya keluasan tanah NCR di Sarawak dianggarkan sekitar 1.5 juta hektar dan daripada keluasan itu hanya 1.1 juta hektar diukur.
“Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menyumbang bagi membiayai kos untuk kerja survei berkenaan. Geran berjumlah RM150 juta diberikan dalam tempoh 2010 hingga 2017 bagi tujuan itu. Bagaimanapun selepas tahun 2018, kita amat kecewa apabila jumlah yang diperuntukkan dikurangkan dengan drastik. Malah tahun ini hanya RM2 juta diberikan,” katanya. – Bernama, 7 Jun, 2023.
Komen