Umno perlu tawaran baharu untuk orang Melayu, kata timbalan presiden


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata orang Melayu terus ketinggalan kerana parti itu masih gagal merangka penyelesaian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Jun, 2023.

UMNO harus merangka suatu program dan agenda baharu untuk orang Melayu sekiranya mahu terus kekal relevan, kata timbalan presidennya Mohamad Hasan.

Katanya, orang Melayu terus ketinggalan kerana Umno masih gagal merangka penyelesaian sedangkan komuniti itu berhadapan krisis yang meruncing.

“Umno nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu, empat tahun telah terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair.

“Kita seolah hilang fokus, kepada segala kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui bangsa Melayu dan kita juga gagal, menampilkan solusi yang bernas untuk mereka.

“Blueprint baru agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman, sangat diperlukan jika Umno ingin berkelangsungan,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan perhimpunan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Mohamad antara lain menyebut orang Melayu masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat lain.

Selain itu, wang simpanan Bumiputera juga semakin susut saban tahun dengan kesempitan hidup pasca pandemik, memaksa mereka mengeluarkan wang persaraan secara besar-besaran.

“Maksudnya, ramai yang tidak akan dapat bersara, kerana terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan di usia tua,” kata Mohamad.

Pencapaian orang Melayu juga tidak menunjukkan kemajuan ketara dari sudut ekonomi, pendidikan, kemaslahatan sosial dan di peringkat kepemimpinan antarabangsa, katanya.

“Apakah strategi kita untuk membasmi kemiskinan bandar, meningkatkan pemilikan bank, universiti, hospital, kilang dan syarikat bertaraf unicorn untuk bangsa Melayu?

“Cara apa yang akan kita gunakan untuk menambah bilangan saintis, bilangan coders dan programmers, bilangan jururawat dengan kepakaran unik, jurutera, peguam dan pelbagai profesional lain?

“Strategi apa yang bakal dibuat untuk memartabatkan Bahasa Melayu? Menjadikan segalanya tentang dunia Melayu itu, kita pelihara, majukan dan tamsilkan secara global.

“Malah dalam banyak keadaan, pencapaian bangsa Melayu telah sangat mengendur dan menyusut. Apa lagi dampak pandemik, kemelesetan ekonomi dan arus globalisasi yang deras, terus menghimpit masyarakat kita,” katanya.

Sehubungan itu, Umno katanya perlu merangka strategi yang menyeluruh dan mempunyai jawapan terhadap segala permasalahan tersebut untuk satu tempoh jangka masa panjang.

“Umno mesti ada jawapan untuk semua ini dan jawapan Umno tidak boleh piecemeal. Juga secara ad hoc.

“Solusi Umno mestilah dalam satu bentuk blueprint kemajuan dan pemodenan bangsa Melayu yang lengkap, menyeluruh dan kalis masa.

“Jika Umno tidak menyediakan blueprint sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu,” katanya.

Oleh itu, Umno perlu memulakan langkah berani merangka rancangan membawa agenda Melayu yang moden, maju dan jelas yang meyakinkan bangsa Melayu sendiri, katanya.

“Dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.”

Tanpa pelan jangka panjang itu, Umno tiada beza dengan parti lawan yang menurutnya lebih gemar memainkan isu agama dan sentimen politik perkauman sempit demi kepentingan politik, katanya.

“Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa dalam landskap politik Malaysia,” katanya.

Oleh itu, satu usaha perlu digerakkan bagi menghimpun pemikir bagi menghasilkan blueprint tersebut dalam satu kongres.

“Saya usulkan, Umno dengan segera menganjurkan Kongres Melayu. Kita himpunkan pemikir terbaik bangsa untuk membantu kita menghasilkan blueprint Melayu Maju ini.

“Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan, daripada tokoh yang sama.

“Manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja,” kata Mohamad.

Ahli Parlimen Rembau itu turut mencadangkan sayap Pemuda dan Puteri Umno perlu memainkan peranan menggerakkan kongres berkenaan.

“Kerana anda perlu buktikan bahawa, anda semua akan bersedia untuk mengemudi agenda bangsa bersama kami.

“Bangsa Melayu, memerlukan sesuatu yang konkrit, terancang dan strategik demi sebuah masa depan dan kehidupan bermaruah.

“Maknanya, Umno mesti mengambil pendirian, untuk membuat tawaran yang lebih jelas, agar kebolehsaingan bangsa Melayu dapat dipertingkatkan,” kata Mohamad lagi.

Beliau juga menyeru agar kesempatan sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan perpaduan, Umno perlu memastikan pelan tersebut mampu berjaya.

“Melayu dalam Malaysia moden, memerlukan bukan sekadar bantuan dan intervensi, tetapi kompetensi dan keberdayaan, yang akan membolehkan mereka benar-benar bersaing.

“Mari kita usahakan, suatu pelan yang konkrit untuk orang Melayu, gunakan kesempatan kita dalam kerajaan perpaduan ini, untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dengan rasional dan tuntas,” tambah Mohamad. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen