Jepun tetap teruskan rancangan lepaskan sisa nuklear ke laut


Jepun tetap meneruskan rancangan memasukkan air laut ke dalam terowong saliran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi untuk membebaskan air sisa radioaktif terawat ke laut. – Gambar fail EPA, 7 Jun, 2023.

WALAUPUN menerima pelbagai tekanan, Jepun pada Selasa tetap meneruskan rancangan memasukkan air laut ke dalam terowong saliran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi untuk membebaskan air sisa radioaktif terawat ke laut, lapor agensi berita Anadolu.

Rancangan itu mencetuskan bantahan kedutaan China di Tokyo selain komuniti nelayan tempatan dan negara jiran.

“Kemudaratan akibat pelepasan air nuklear ke laut tidak dapat diukur,” menurut kenyataan kedutaan China di Jepun.

Apabila diisi dengan air laut, terowong itu akan membawa air terawat dari loji ke satu titik kira-kira 1 kilometer di luar pesisir.

Sistem pelepasan air hampir siap, kecuali takungan yang akan menyimpan air terawat sebelum dilepaskan. Utiliti itu menyasarkan semua proses selesai pada akhir Jun.

Air yang digunakan untuk menyejukkan bahan api cair di kemudahan itu akan bergabung dengan hujan dan air bawah tanah. Air terkumpul akan dirawat untuk menghapuskan bahan radioaktif dan kemudian disimpan dalam tangki yang terletak di kawasan loji.

Kerajaan bercadang mencairkan air yang ditapis untuk menurunkan kepekatan tritium di bawah had dibenarkan yang ditetapkan oleh peraturan negara, lapor NHK.

Kedutaan China menggesa Jepun supaya tidak menyebabkan generasi akan datang berdepan risiko.

Kempen tandatangan dilancarkan di Korea Selatan minggu lalu untuk menentang tindakan itu, yang dimulakan oleh parti pembangakang iaitu Parti Demokrat.

Pengerusinya, Lee Jae-Myung, menyuarakan kebimbangan selain mempersoalkan bagaimana presiden dan parti pemerintah boleh menyokong Jepun dan memberi mereka imuniti dan kebenaran untuk melepaskan air berbahaya yang tercemar nuklear ke lautan.

Jepun melancarkan pelan pelepasan air pada April 2021, mencetuskan kritikan besar-besaran daripada China, Korea Selatan, Korea Utara, negara kepulauan Taiwan dan badan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat menyokong cadangan itu yang dibuat selepas perbincangan bertahun-tahun mengenai cara untuk menyingkirkan lebih satu juta tan air terkumpul di kompleks nuklear Fukushima yang sudah tidak digunakan selepas gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011.

Jepun menjanjikan dana AS$600 juta untuk komuniti nelayan tempatan yang turut menyuarakan bantahan terhadap langkah itu.

IAEA menjalankan penilaian terhadap cadangan kerajaan Jepun dan dijangka mengeluarkan laporan komprehensif selain berikrar untuk memberikan sokongan sebelum, semasa dan selepas keseluruhan proses pelepasan. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen