PERDANA Menteri Tonga Akilisi Pohiva pada Rabu menjarakkan diri daripada arahan larangan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan terhadap pelajar perempuan untuk menyertai sukan ragbi dan tinju.
Akilisi berkata penyertaan ke dalam sukan terbabit bergantung kepada kebenaran oleh ibu bapa mereka.
Arahan jabatan tersebut mengundang kemarahan beberapa pihak minggu ini, selepas sekumpulan pelajar perempuan dari Tonga High School disingkirkan daripada pertandingan ragbi hanya disebabkan oleh jantina mereka.
Dalam sepucuk surat bagi menjelaskan larangan itu, Jabatan Pendidikan berkata ia mempunyai tanggungjawab untuk “memelihara maruah wanita Tonga dan menjunjung tinggi nilai-nilai budaya Tonga”.
Penjelasan Pohiva itu dibuat selepas isu berkenaan mendapat perhatian dunia dan kritikan daripada juara dua kali Olimpik Valerie Adams dan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.
“Ia bukan dasar kerajaan Tonga,” katanya dalam kenyataan.
Pohiva berkata kerajaannya sangat “aktif dalam mengalakkan penyertaan setiap pelajar Tonga dalam semua jenis sukan tanpa mengamalkan diskriminasi”.
“Sudah menjadi tanggungjawab untuk kerajaan menyediakan peluang kepada semua pelajar untuk menyertai apa jenis sukan sekali pun,” katanya.
“Ini, bagaimanapun, terpulang kepada pelajar dan ibu bapa mereka untuk menentukan sama ada mereka patut atau tidak menyertai sukan seperti ragbi dan tinju.” – AFP, 23 Mac, 2018.
Komen