Al-Ittihad lengkapkan perpindahan Benzema dari Real Madrid


Benzema menjaringkan 354 gol dalam 648 perlawanan dan memenangi 25 trofi, satu rekod sepanjang beraksi bersama pasukan Real Madrid. – Gambar AFP, 7 Jun, 2023.

JUARA Liga Profesional Saudi, Al-Ittihad mengesahkan Karim Benzema melengkapkan perpindahannya dari Real Madrid ke kelab Arab Saudi itu.

Penyerang Perancis itu menandatangani perjanjian tiga tahun bersama Al-Ittihad, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Selepas 14 tahun di Bernabeu, Benzema akhirnya dibenarkan meninggalkan kelab selepas membatalkan lanjutan 12 bulan kontrak yang ditandatanganinya.

Terdahulu pada Selasa, pemain berusia 35 tahun itu berikrar tidak akan melupakan Real.

Benzema menjaringkan 354 gol dalam 648 perlawanan dan memenangi 25 trofi, satu rekod sepanjang beraksi bersama pasukan LaLiga itu.

“Saya tidak akan melupakan Real Madrid kerana ia adalah mustahil. Sukar untuk berbicara. Terlalu banyak emosi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Real Madrid dan rakan sepasukan saya. Ia satu perjalanan yang baik dalam hidup saya.

“Saya cukup bernasib baik dapat memenuhi impian zaman kanak-kanak saya, terima kasih kepada presiden yang suatu masa dahulu, ketika saya baru berusia 21 tahun datang ke rumah saya bersama ibu bapa saya.

“Mustahil untuk saya melupakan Real Madrid. Ia adalah kelab terbaik di dunia. Sudah tiba masanya untuk saya melangkah pergi untuk melakar cerita lain, tetapi perkara yang paling penting bagi saya ialah kejayaan yang saya gapai di sini,” katanya pada sidang media sempena perpindahannya.

Benzema menyertai Lyon pada 2009 dan menjuarai LaLiga sebanyak empat kali manakala merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara sebanyak lima kali. Beliau juga memenangi Ballon d’Or 2022. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen