Putrajaya mahu saman penuntut Sulu dan pembiaya mereka, kata Azalina


Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata kerajaan berjuang habis-habisan dalam mempertahankan kedaulatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

KERAJAAN sedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penuntut yang mengaku sebagai pewaris kesultanan Sulu dan menuntut hak ke atas Sabah selain pembiaya mereka, kata Azalina Othman Said hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, Putrajaya sedang memikirkan tindakan undang-undang sewajarnya terhadap lapan orang yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu dan syarikat yang membiayai kumpulan itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai tindakan itu.

Beliau berkata, inilah sikap kerajaan dalam “berjuang habis-habisan” untuk melindungi kedaulatan negara.

“Kita akan saman mereka. Kita bertanggungjawab ke atas semua kos (perbelanjaan) kerajaan dalam mempertahankan hak kita dalam kes ini,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

“Kerajaan sedang melakukannya. Bagaimanapun saya tidak boleh memberitahu anda butiran apa yang akan kami lakukan seterusnya,” katanya.

“Setahu kami, kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kebenaran didedahkan,” katanya.

Putrajaya dalam satu kenyataan semalam berkata ia memperoleh kemenangan penting di Mahkamah Rayuan Paris untuk mengetepikan sebahagian daripada award dalam kes yang dibawa oleh waris Sultan Sulu.

Mahkamah rayuan mengekalkan cabaran Malaysia terhadap sebahagian award yang diberikan pada 25 Mei 2020, oleh Dr Gonzalo Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan penuntut, yang merupakan warga Filipina.

Azalina berkata keputusan itu bermakna penuntut tidak boleh bergantung kepada sebahagian award di Perancis untuk sebarang tujuan kerana ia memberi tumpuan kepada kesahihan tuntutan kumpulan itu.

Beliau juga percaya keputusan itu juga akan menghentikan usaha penuntut serta pembiaya mereka untuk menguatkuasakan award tidak sah itu serta cuba mendapatkan pampasan yang besar daripada Malaysia.

“Jika mereka (penuntut) berasakan tuntutan mereka sah, mereka hanya perlu berada di sana dan membiarkan perkara itu diselesaikan oleh mahkamah di Sepanyol kerana mereka mendakwa pemberian timbang tara diberikan oleh mahkamah di sana.

“Daripada menunggu keputusan mahkamah di Sepanyol, mereka (penuntut) melompat dari satu ‘forum’ ke ‘forum’ yang lain.

“Adalah jelas anda (penuntut) tidak mahu rakyat mengetahui perkara sebenar,” katanya. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen