Keputusan Mahkamah Rayuan Paris bukti tuntutan Sulu tiada merit, kata Hajiji


Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata keputusan Mahkamah Rayuan Paris membenarkan Malaysia mencabar penghakiman timbang tara yang dikemukakan waris kesultanan Sulu mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Paris yang membenarkan Malaysia mencabar penghakiman timbang tara yang dikemukakan waris kesultanan Sulu tepat sekali gus mengesahkan pendirian kerajaan Sabah bahawa tuntutan mereka terhadap negeri itu tidak mempunyai merit.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata keputusan itu juga mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata rakyat Sabah sendiri memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.

“Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan itu dan berharap kerajaan Malaysia akan mengambil segala tindakan sewajarnya bagi menamatkan sebarang tuntutan itu buat selama-lamanya.

“Sabah melalui Jabatan Peguam Negara akan terus memainkan peranannya dengan Peguam Negara Persekutuan dalam menangani kes itu,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.  

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa membuat keputusan memihak kepada mereka.

Stampa mengeluarkan award akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 14 Mac lepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysian di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.

Justeru perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award itu adalah kekal. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen