Polis Thailand bantu kesan wanita Malaysia hilang, kata PDRM


Chong Sum Yee, 22, hilang di Chiang Mai, Thailand sejak 1 Jun lepas dan kali terakhir Chong dihubungi keluarga adalah pada 1 Jun, 10.30 pagi (waktu tempatan). – Gambar Facebook, 7 Jun, 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Polis Thailand bagi mengesan rakyat Malaysia, Chong Sum Yee, 22, yang hilang di Chiang Mai, Thailand sejak 1 Jun lepas.

Setiausaha PDRM Noorsiah Saaduddin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada ibunya Chee Choy Wen pada 2 Jun lepas.

“Usaha untuk mengesan mangsa sedang giat dijalankan oleh polis Thailand melalui bantuan Polis Antarabangsa, PDRM, pihak berkuasa Thailand dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Bernama semalam melaporkan Chong berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei dan melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer ke daerah utara Mae Sai di wilayah Chiang Rai.

Lokasi berkenaan berdekatan dengan bandar Tachilek di Myanmar iaitu lokasi di mana kes-kes perdagangan manusia pernah dilaporkan.

Kali terakhir Chong dihubungi keluarga adalah pada 1 Jun, 10.30 pagi (waktu tempatan).

Ibu wanita berkenaan berkata anak perempuannya memberitahu dia berada di Thailand atas urusan kerja tetapi dinafikan majikannya. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen