DAP sekali lagi mahu pecah belahkan masyarakat berbilang kaum, kata Hadi


Ravin Palanisamy

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kewujudan DAP adalah untuk memecahbelahkan masyarakat yang harmoni dan berbilang kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang membidas DAP dengan mendakwa kewujudan parti itu adalah untuk memecahbelahkan masyarakat yang harmoni dan berbilang kaum.

Ahli Parlimen Marang itu berkata DAP yang ditubuhkan selepas negara mencapai kemerdekaan cuba menggantikan MCA dan MIC yang diasaskan sebelum merdeka.

“DAP yang ditubuhkan kemudiannya cuba merungkai hubungan masyarakat majmuk yang bertapak dengan harmoni tanpa paksaan beragama Islam,” kata Hadi dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.

Hadi mendakwa agenda Malaysian Malaysia yang dibawa DAP dan prinsip sekularisme yang memisahkan agama daripada politik, ekonomi dan perkara-perkara lain adalah satu usaha untuk merungkai semula apa yang diikat dengan baik.

“Mungkin generasi muda daripada kalangan kaum Cina dan India tidak perasan dengan langkah yang sumbang ini kerana kebanyakan mereka lahir selepas kemerdekaan.

“Alasannya cuba menggambarkan kalangan bangsa Melayu itu rasis, tanpa melihat wajah yang sebenar di lapangan. Padahal kaum Melayu ialah kaum yang paling tidak rasis, walaupun dipaksa oleh penjajah menerima jus soli menjadi syarat kemerdekaan dengan menerima pendatang daripada kalangan kaum Cina dan India menjadi warganegara.

“Namun, pengaruh Islam yang ada dalam diri kaum Melayu boleh menerima kewujudan kaum lain di tengah-tengah mereka. Hal ini dapat dilihat betapa keluarga bukan Islam Cina dan India dengan kelompok yang kecil bebas untuk berniaga, bertani dan beragama. 

“Malah, di negara ini juga dibenarkan setiap kaum menggunakan bahasa masing-masing, sehinggalah membuka sekolah yang dinamakan jenis kebangsaan,” katanya.

Hadi mendakwa DAP mengambil pendekatan Malaysian Malaysia yang dibawa oleh pemimpin Singapura mendiang Lee Kuan Yew pada awal 1960-an melalui Konvensyen Solidariti Malaysia adalah untuk membantah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pelbagai hak istimewa kepada orang Melayu dan Bumiputera.

“Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan kerakyatan juga berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu adalah sama taraf dengan orang Melayu dan bumiputera. Dalam lain perkataan, semua bangsa, bahasa, agama dan budaya adalah sama.

“Selepas Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, konsep ini terus diperjuangkan oleh DAP iaitu sebuah parti serpihan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura sehingga sekarang,” katanya.

Hadi berkata orang bukan Islam harus menghargai dan bersyukur dengan hakikat mereka dibenarkan tinggal di negara ini.

“Bahkan, mereka wajib menerima hakikat bahawa kebanyakan negara di dunia tidak memberikan tempat kepada sesiapa yang bukan penduduk asal dan tidak menganut ideologi negaranya, namun sebaliknya Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara.

“Kedudukan Islam yang dianut oleh rumpun Melayu dengan akrab tidak boleh dicabar sewenang-wenangnya. Malah, sepatutnya sikap toleransi yang diberikan kepada mereka itu hendaklah dihormati.

“Konsep sekularisme dan Malaysian Malaysia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. 

“Pernah berlaku ketegangan di Singapura, ketika konsep tersebut mula diperkenalkan. 

“Malaysia pernah mengalami peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam dalam hubungan masyarakat majmuk. Maka, peristiwa hitam itu jangan diulang sekali lagi dengan membawa agenda yang salah,” katanya.

Awal tahun lalu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata DAP memberi jaminan untuk menerima dan mematuhi empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk mengenai kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen