Syerleena buat laporan polis terhadap Sanusi


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa biadab dalam satu ceramah PN di Permatang Pauh, Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

AHLI Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung video ceramahnya yang didakwa menggunakan kata-kata kesat.

Syerleena berkata laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 9.17 pagi berikutan Sanusi dalam satu video tular semasa ceramah Perikatan Nasional (PN) di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang didakwa biadab.

“Seorang pemimpin tidak boleh buat perkara sebegini, ia menyinggung khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak.

“Kita cukup hairan melihat kualiti (pemimpin) sebegini yang tidak sepatutnya. Perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq menekankan budaya orang Kedah bukanlah budaya biadab sebaliknya bersopan santun dan berbudi pekerti.

“Saya sendiri orang Kedah, kalau beliau kata itu cara orang Kedah berbicara, itu salah. Ini amat memalukan, beliau seorang MB (Menteri Besar) Kedah yang mewakili nama baik negeri dan Sultan Kedah. Beliau sepatutnya menunjukkan imej yang baik,” katanya.

Sementara itu, Lim menasihati pembangkang untuk tidak memilih politik kotor membabitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) semata-mata ingin mengejar populariti dan meraih undi penyokong menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen