KKD gesa Telegram jumpa SKMM untuk elak tindakan, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa Telegram mengadakan pertemuan dengan SKMM dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan berhubung beberapa isu keselamatan siber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) menggesa pihak Telegram mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan berhubung beberapa isu keselamatan siber.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata kementerian memberi peluang kepada Telegram untuk berbuat demikian kerana platform media sosial itu menghubungi pihaknya baru-baru ini walaupun SKMM memberikan syor yang sangat tegas.

“Saya menerima beberapa syor yang sangat tegas daripada MCMC tapi kita memberi ruang kepada Telegram untuk menghubungi SKMM kerana Telegram menghubungi pejabat saya (baru-baru ini).

“Maka sekiranya ada kesediaan Telegram untuk duduk semeja dengan SKMM dan Bukit Aman, saya percaya isu sebaran bahan lucah, jualan dadah, scam dan maklumat palsu (di platform berkenaan) dapat diberi perhatian oleh Telegram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan kempen Hour of Code sempena International Girls in ICT (GICT 2023) di Kuala Lumpurhari ini.

Pada 3 Jun Fahmi berkata kerajaan akan memastikan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas Telegram tidak akan terlalu menjejaskan pengguna platform tersebut.

Beliau berkata pihaknya sedar aplikasi tersebut banyak digunakan khususnya oleh komuniti tertentu seperti sekolah dan pengamal media untuk menghantaran video dan imej. β€“ Bernama, 7 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen