RM1 juta diperuntuk lengkapkan kemudahan Internet 19 sekolah di Lembah Pantai


Kerajaan memperuntukkan RM1 juta untuk melengkapkan kemudahan akses Internet di 19 sekolah dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

KERAJAAN menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperuntukkan RM1 juta untuk melengkapkan kemudahan akses Internet di 19 sekolah dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata peruntukan disalurkan berikutan terdapat aduan berkaitan masalah Internet yang dihadapi oleh guru dan pelajar sekolah berkenaan.

“Perlu usaha merapatkan jurang digital di kawasan sendiri (Lembah Pantai), antara aduan guru besar dan pengetua adalah masalah Internet dan sejak sebulan setengah yang lalu saya mengadakan pertemuan dengan semua wakil 19 sekolah berkenaan.

“Perkara ini diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang mulai sekarang, sebagai langkah permulaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Hour of Code (HOC)  #MyGirlsCan 2023 bersempena International Girls in ICT (GICT) Day 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan beberapa ahli Parlimen yang lain untuk memanfaatkan peruntukan sedia ada dalam usaha merapatkan jurang digital.

“Mungkin kolaborasi dengan konglomerat atau syarikat yang berasa ada keperluan untuk turut serta terlibat dalam usaha ini,” katanya.

Mengenai GICT Day, Fahmi berkata ia bertujuan meningkatkan minat golongan wanita khususnya dalam kalangan pelajar dan generasi muda tentang kepentingan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Pada masa sama, beliau berkata ia juga mendorong golongan berkenaan menceburi bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kerjaya dan kehidupan.

Katanya KKD menyasarkan 5,000 pelajar perempuan dari 500 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan menyertai Kempen HOC #MyGirlsCan 2023 yang bermula hari ini hingga 14 Julai. 

Kempen HOC yang terbuka kepada semua sekolah di seluruh negara dilaksanakan oleh KKD melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengekodan dan asas sain komputer.

MDEC juga bakal melaksanakan program Digital Ninja pada September ini bagi mengasah bakat kemahiran teknologi digital pelajar perempuan, memberi pendedahan kepada corak pemikiran kritikal, kreatif dan inovatif serta penyelesaian masalah dan keusahawanan. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen