Jiji Press guna penterjemahan mesin untuk perkhidmatan berita Inggeris


Ibu pejabat Jiji Press di Tokyo, Jepun. Syarikat penerbitan itu akan memperkenal sistem penterjemahan mesin Institut Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negara atau NICT dalam perkhidmatan berita Inggerisnya. – Gambar Wikipedia, 7 Jun, 2023.

JIJI Press akan memperkenal sistem penterjemahan mesin Institut Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negara atau NICT dalam perkhidmatan berita Inggerisnya, menurut agensi berita Jepun itu.

Jiji Press dan rakan kongsinya NICT dan syarikat penterjemahan mesin yang berpangkalan di Tokyo, Mindword Inc. menjangkakan sistem itu akan membolehkan Jiji Press memendekkan masa untuk menterjemah artikel berita Jepun ke dalam bahasa Inggeris dan menyebarkannya.

“Ia merupakan kali pertama penerbit akhbar Jepun atau agensi berita menggunakan sepenuhnya sistem penterjemahan automatik untuk menterjemah artikel berbahasa Inggeris,” menurut Jiji Press.

Ketiga-tiga organisasi juga akan mempertimbangkan untuk menyediakan artikel yang diterjemah secara automatik kepada pihak ketiga dan mengedarkan artikel dalam bahasa lain menggunakan sistem itu.

Langkah itu dijangka memberi akses yang lebih baik kepada artikel berita tentang negara ini kepada penduduk asing dan pelancong di Jepun, katanya.

Menerusi perkongsian itu, Mindword akan menggunakan teknologi NICT untuk menterjemahkan artikel Jiji Press Jepun ke dalam bahasa Inggeris yang membolehkan kedua-dua set versi bahasa Jepun dan bahasa Inggeris disediakan serta-merta.

Artikel asal dan terjemahan akan digunakan sebagai data pembelajaran supaya sistem penterjemahan automatik dapat mengendalikan topik terkini. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen