Vietnam perketat langkah pencegahan penyakit HFMD


Vietnam meningkatkan langkah pencegahan untuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) apabila negara itu mencatat kira-kira 9,000 kes dan tiga kematian. – Gambar AFP, 7 Jun, 2023.

VIETNAM meningkatkan langkah-langkah pencegahan untuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) selepas negara itu mencatat kira-kira 9,000 kes dan tiga kematian, lapor Xinhua memetik Vietnam News pada Rabu.

Penyakit tangan, kaki, dan mulut sering menjangkiti bayi dan kanak-kanak yang menyebabkan demam dan ruam dengan lepuh di tangan, kaki serta luka di dalam mulut.

Kes yang teruk berkait rapat dengan enterovirus 71 atau EV71 yang boleh menyebabkan meningitis virus atau poliomielitis, menurut Kementerian Kesihatan Vietnam.

Kementerian mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk berkoordinasi secara proaktif dengan sektor kesihatan untuk mengambil inisiatif pencegahan dan kawalan penyakit, mengurangkan bilangan kes dan kematian serta mencegah penularan HFMD.

Kerajaan tempatan juga diminta untuk memantau rapat perkembangan penyakit itu di samping  mengesan dan menangani dengan segera wabak yang berlaku.

Langkah-langkah pencegahan lain yang turut diambil termasuk meningkatkan kesedaran awam mengenai keperluan mencuci tangan dengan kerap dan membersihkan kawasan yang tercemar. β€“ Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen