SPRM buka kertas siasatan kes dana judi biaya kempen Perikatan


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM buka kertas siasatan ke atas aduan berhubung dakwaan PN menerima dana wang judi bagi membiaya kempen PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

AGENSI antirasuah membuka kertas siasatan ke atas aduan berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana wang judi bagi membiaya kempen pilihan raya umum lalu.

Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Siasatan itu termasuk mengenalpasti dan menyiasat latar belakang syarikat yang dinyatakan dalam aduan itu, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kertas siasatan ini susulan daripada aduan seorang individu kepada SPRM bersama beberapa dokumen pada 30 Mei lalu,” katanya.

Jelasnya pengadu tersebut menggesa SPRM menyiasat dakwaan bahawa PN menerima dana dari syarikat perjudian yang juga digunakan untuk kempen pilihan raya.

Individu terbabit, Mohd Rushdan Mohd Yusof, 52, pada bulan lalu menyatakan beliau tidak terbabit dengan mana-mana parti politik dan membuat aduan tersebut sebagai orang awam.

Beliau turut mendakwa mempunyai bukti dan maklumat yang sudah disalurkan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, bukti itu diterima dari sumber yang boleh dipercayai dan akan disokong dengan beberapa dokumen sulit.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said pada bulan lalu memberitahu Parlimen, tiada had masa ditetapkan untuk menyiasat kes tersebut.

Ia bagi menjelaskan status siasatan pada waktu itu memandangkan tiada fail siasatan dibuka berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi pada waktu itu.

Menteri hal ehwal undang-undang itu berkata demikian bagi menjawab kenyataan dari pemimpin PN yang menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf atas tuduhan berkenaan.

Beliau menjawab tuntutan PAS supaya Anwar memohon maaf kerana menuduh parti berkenaan selepas menerima dana daripada syarikat judi bagi membiayai kempen pilihan raya.

Perdana menteri pada Disember dalam satu kenyataan membayangkan sebahagian dana pilihan raya parti parti PN berpunca daripada cabutan khas syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya seperti dilaporkan pada waktu itu.

Walaupun tidak menamakan secara khusus pihak tersebut, Anwar mentakrifkannya sebagai parti Melayu dan Islam.

Anwar pada waktu itu juga membangkitkan tindakan pentadbiran PN menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun pada akhir 2020. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen