Malaysia masih popular walau syarat MM2H ketat, kata menteri


Ravin Palanisamy

Program MM2H, yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi persaraan antarabangsa, dibekukan pada 2020 dan disambung semula pada 2021 dengan syarat lebih ketat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

MALAYSIA terus menjadi destinasi menarik bagi mereka yang ingin menjadikan negara ini sebagai rumah kedua di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) walaupun terma dan syarat ketatnya disemak semula, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin mengakui terdapat penurunan dalam jumlah permohonan baharu program MM2H namun menafikan ia mencapai 90% seperti dilaporkan sebelum ini.

“Ya, terdapat penurunan dari segi permohonan dan kelulusan tetapi bukan sehingga 90%.

“Penurunan itu, jika saya bandingkan data 2019 misalnya, terdapat sekitar 3,900 pemohon tetapi setahun selepas syarat baharu ini dikenakan, jumlah permohonan adalah lebih kurang 2,000.

“Jadi, ada pengurangan sekitar 50% kerana kita ketatkan syarat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini semasa sesi Soal Jawab Menteri.

Saifuddin menjawab soalan Hasni Mohammad (Simpang Renggam-BN), yang meminta rasional perubahan terkini yang dibuat kepada program MM2H.

Hasni mendakwa program MM2H yang ketat menyebabkan pasaran hartanah di Johor suram, sambil menambah jumlah hartanah tidak terjual di negeri itu semakin membimbangkan.

Namun begitu, Saifuddin berkata walaupun jumlah pemohon berkurangan, pendapatan menerusi program MM2H sepanjang tahun lalu sahaja mencecah RM1 bilion.

“Kita bandingkan angka program ini dari 2015 hingga 2019. Jumlah pendapatan kepada kerajaan dari 2015 hingga 2019 ialah RM958 juta dalam tempoh 5 tahun.

“Tetapi sejak kita ketatkan syarat untuk mendapatkan kualiti, dalam tempoh setahun sahaja pendapatan hampir mencecah RM1 bilion.

“Maknanya, sekarang ini kita sudah meluluskan 375 permohonan daripada 2,000. Ini bermakna RM375 juta sudah berada dalam pasaran kewangan negara.

“Tetapi dalam pada itu, kami memberikan pra-kelulusan kepada kira-kira 800 pemohon kerana terdapat beberapa dokumen belum selesai daripada mereka untuk mendapatkan kelulusan penuh.

“Jika ini diluluskan, bermakna RM800 juta akan berada dalam akaun bank pusat, bermakna jumlah selama setahun sejak peraturan diperketatkan adalah hampir RM1 bilion,” kata Saifuddin.

Sebelum ini dilaporkan program MM2H menyaksikan penurunan 90% dalam bilangan pemohon kerana syarat yang lebih ketat dikenakan.

Laporan sebelum ini mengatakan mereka memilih negara jiran lain kerana syarat ketat yang dikenakan oleh pentadbiran terdahulu pada 2021.

Syarat baharu yang dikenakan memerlukan pemohon mempunyai deposit kekal sekurang-kurangnya RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

Sebelum ini, mereka hanya memerlukan simpanan antara RM300,000 hingga RM500,000.

Mereka kini juga perlu menunjukkan pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan.

Program MM2H, yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi persaraan antarabangsa, dibekukan pada 2020 dan disambung semula pada 2021 dengan syarat yang ketat.

Hamzah Zainuddin daripada Perikatan Nasional adalah menteri dalam negeri ketika itu. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen