ROSMAH Mansor berkata beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kehilangan 43 barang kemas bernilai jutaan ringgit yang telah diserahkan kepadanya oleh sebuah syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan.
Isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata kenyataannya barangan kemas itu diambil polis atau kerajaan Malaysia melalui perundangan adalah benar dan bermerit memandangkan satu daripada 44 barangan kemas tersebut dijumpai dalam milikan mereka.
“Bukan saya penyebab kehilangan barangan kemas itu. Saya menyimpan semua barangan kemas itu di tempat yang sama dan ia disita dan diambil polis. Saya ingin menegaskan umum tahu semua harta milik saya dan keluarga dirampas dan disita oleh pihak berkuasa.
“Oleh itu, tidak mungkin saya boleh menyimpan barangan kemas bernilai jutaan ringgit tersebut (di tempat lain), selain saya juga tidak dibenarkan untuk keluar negara,” katanya menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan semalam menerusi Tetuan Reza Rahim & Rajivan.
Rosmah, 71, disaman Global Royalty Trading SAL, selaku plaintif bagi menuntut AS$14.57 atau RM67.46 juta, atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 43 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya lima tahun lepas.
Sementara itu, Rosmah selaku defendan berkata barang kemas tersebut diserahkan kepadanya oleh Global Royalty atas kerelaan syarikat itu tanpa beliau meminta syarikat berkenaan berbuat demikian.
Rosmah menegaskan oleh kerana ketika itu beliau adalah isteri kepada perdana menteri Malaysia, syarikat barang kemas tersebut inginkan publisiti dan mahu beliau (Rosmah) menjadi pelanggan mereka.
“Tujuan barangan kemas itu diserahkan kepada saya adalah untuk manfaaat dan keuntungan syarikat itu sendiri bagi mengumpul, memperoleh atau menarik publisiti dalam kalangan pembeli,” katanya.
Pada 29 Mac lepas, Global Royalty, yang berpangkalan di Beirut menyaman Rosmah selepas mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
“Oleh itu, defendan gagal dan cuai untuk memulangkan kepada plaintif baki 43 barang kemas berjumlah AS$14.57 juta kepunyaan plaintif yang diserahkan kepada defendan pada 10 Februari, 2018,” dakwa Global Royalty menerusi pernyataan tuntutannya.
Plaintif mendakwa defendan memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya hilang.
Pada 26 Jun, 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.
Bagaimanapun, saman itu ditarik balik pada 2019 kerana syarikat itu perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia atau tidak.
Peguam Rajivan Nambiar, yang mewakili Rosmah memberitahu pemberita pada prosiding kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rini Triany Muhammad Ali hari ini, mahkamah menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya bagi Global Royalty memfailkan jawapan kepada pembelaan Rosmah. – Bernama, 7 Jun, 2023.
Komen