PAMERAN pertahanan maritim antarabangsa Korea Selatan di tenggara bandar Busan membuka tirainya hari ini untuk mempromosikan sistem senjata tentera laut, kapal perang dan peralatan canggih, kata Tentera Laut republik itu.
Pameran Industri Pertahanan Maritim Antarabangsa (MADEX) 2023 selama tiga hari berlangsung di Busan, 320 kilometer tenggara Seoul, menghimpunkan kira-kira 140 syarikat pertahanan dari 12 negara.
Acara itu dijangka dihadiri lebih 100 delegasi asing dari 26 negara, termasuk Arab Saudi, Qatar dan Thailand, lapor Yonhap.
Pelbagai sistem pertahanan maritim akan dipamerkan, termasuk model kapal perang yang sedang dibangunkan, seperti kapal pemusnah KDDX generasi baharu, sistem peperangan elektronik dan helikopter serangan marin.
Tentera Laut juga akan mengadakan demonstrasi sistem tanpa pemandu maritim, menggunakan kenderaan permukaan tanpa pemandu, kenderaan bawah air dan dron di Pangkalan Tentera Laut Busan.
Ketua Operasi Tentera Laut Laksamana Lee Jong-ho, Komandan Kor Marin Lt. Jeneral Kim Gye-hwan dan pegawai kanan tentera lain dijadual mengadakan perbincangan dengan pegawai dari 19 negara pada pameran itu, katanya.
“Acara ini akan menjadi peluang bermakna untuk memantau keadaan semasa dan masa depan teknologi sistem persenjataan maritim global dan industri pertahanan maritim di samping mengukuhkan lagi industri senjata dan kerjasama keselamatan maritim antara negara,” kata Lee.
MADEX kali pertama dianjurkan pada 1998 sempena acara perhimpunan armada antarabangsa yang dianjurkan oleh Korea Selatan. – Bernama, 7 Jun, 2023.
Komen