Jamal minta Noh Omar pertimbang semula keputusan sertai Perikatan


Jamal Yunos berkata Umno Selangor amat mengalu-alukan Noh Omar kembali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

SEORANG pemimpin Umno Selangor menasihatkan bekas ketuanya Noh Omar supaya mempertimbangkan semula kerjasama baharunya dengan Perikatan Nasional (PN).

Jamal Yunos, yang merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Selangor, juga berkata parti itu bersedia menerimanya kembali.

Jamal dilaporkan dalam FMT berkata ia mengecewakan melihat Noh menyokong PN bagi pilihan raya negeri akan datang.

“Itu hak beliau tetapi sebagai orang yang banyak menikmati hasil daripada Umno, akhirnya berada di pentas lawan, itu saya sangat kecewa.

“Saya sangat menghormati Noh. Saya tak nafi jasa dia kepada Umno, saya cuma ingin menasihati bekas bos saya dulu supaya berjiwa besar,” katanya dipetik FMT hari ini.

Jamal juga mengakui Umno Selangor di bawah pimpinan Noh gagal memenangi semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat, dan seterusnya Pakatan Harapan, sejak 2008.

“Noh sudah memimpin Umno Selangor dua kali dan tiga PRU. Saya tak kata dia gagal sepenuhnya tetapi bawah kepimpinannya saya lihat Umno tak kembali bangkit,” katanya.

Noh menjadi ahli Parlimen Umno Tanjong Karang selama enam penggal sehingga beliau digugurkan pada pilihan raya umum lalu pada November.

Umno memecatnya pada Januari kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti.

Beliau kemudiannya berkata akan bertanding dalam pilihan raya Selangor atas tiket PN tetapi masih belum menyatakan parti yang akan disertainya.

Noh juga berkata PN berpeluang memenangi Selangor pada pilihan raya negeri akan datang, dengan pakatan pembangkang persekutuan boleh menang 33 daripada 56 kerusi DUN. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen