Zelenskyy kutuk serangan musnah empangan Kakhovka


Tentera Russia didakwa memusnahkan empangan tenaga hidroelektrik Kakhovka di selatan Ukraine, semalam. – Gambar AFP, 7 Jun, 2023.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelenskyy, mendakwa tentera Russia memusnahkan sebuah empangan besar di selatan Ukraine dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbabit.

Zelenskyy berkata kemusnahan empangan tenaga hidroelektrik Kakhovka hanya mengukuhkan lagi desakan bagi mengusir pasukan Russia dari setiap inci wilayah Ukraine.

“Tidak ada sejengkal pun yang patut dibiarkan kepada mereka, kerana mereka menggunakan setiap jengkal untuk melakukan keganasan. Hanya kemenangan Ukraine yang akan mengembalikan keamanan. Dan kemenangan ini akan datang.”

“Kami menyeru semua negara untuk mengutuk tindakan kejam oleh Russia ini. Rusia harus bertanggungjawab atas jenayah dan pemusnahan di Ukraine,” katanya dalam kenyataan Kedutaan Ukraine di Malaysia.

Media antarabangsa melaporkan jam 3 pagi waktu tempatan semalam, pasukan Russia meletupkan Empangan Hidroelektrik Kakhovka, antara fasiliti tenaga terbesar yang mengandungi kira-kira 18 juta meter padu air.

Empangan setinggi 30 meter yang melintasi Sungai Dnipro itu dibina pada 1956 dan membekalkan air bersih bagi kebanyakan wilayah tenggara Ukraine dan semenanjung Crimea.

Bencana banjir dijangka berlaku dalam tempoh 11 jam berikutnya selepas empangan itu musnah. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen