Ahli Parlimen persoal kerosakan, pembaziran dalam laporan audit


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata Kementerian Kesihatan tidak menjalankan dokumentasi yang betul dengan pembekalnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2023.

AHLI Parlimen hari ini mempersoalkan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung bekalan dan pembaziran peralatan Covid-19 yang rosak semasa perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Antara isu yang diperdebatkan petang ini ialah bekalan alat bantuan pernafasan yang rosak, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sangat rendah serta pelanggaran data MySejahtera yang berlaku pada 2021.

Jimmy Puah (Pakatan Harapan-Tebrau) berkata KKM tidak menjalankan dokumentasi yang betul dengan pembekalnya.

“136 unit ventilator telah dibeli oleh kementerian tetapi hanya 28 daripadanya boleh digunakan, menyebabkan kementerian mempunyai 108 unit yang mengalami kerosakan.

“Daripada 108 itu, hanya 15 daripadanya dikembalikan kepada pengilang untuk penggantian.

“Sebanyak 93 unit ventilator yang dibekalkan oleh sebuah syarikat bernilai RM13 juta tidak dapat digunakan kerana mengalami kerosakan,” kata Puah.

Tambahnya, tiada dokumen pelantikan bagi perolehan ventilator antara pembekal dan kementerian.

Sehingga akhir 2022, perbelanjaan terkumpul dana Covid-19 berjumlah RM106.7 bilion, atau 97% daripada jumlah siling RM110 bilion, yang mana RM31 bilion dibelanjakan pada 2022.

Sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada program bantuan tunai (RM40 bilion), subsidi gaji (RM24.3 bilion) dan perbelanjaan berkaitan Covid-19 untuk meningkatkan peralatan kesihatan dan kapasiti katil di unit rawatan rapi hospital serta mendapatkan kit ujian, reagen, ubat-ubatan dan pembasmi kuman (RM5.3 bilion), kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam Kemas Kini Mengenai Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 yang dikeluarkan pada Februari.

Putrajaya juga mengutamakan semula peruntukan yang ada daripada dana itu untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi subsidi bahan api dan elektrik masing-masing berjumlah RM6.3 bilion dan RM5.9 bilion. – 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen