Perhimpunan Umno peluang kepimpinan jelas kerjasama dengan Pakatan, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Pemerhati politik berkata Perhimpunan Agung Umno platform terbaik untuk kepimpinannya menjelaskan keputusan mereka untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2023.

PERHIMPUNAN Agung Umno yang bermula esok adalah platform terbaik untuk kepimpinannya menjelaskan keputusan mereka untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan, kata pemerhati.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight ini adalah peluang “buat atau mati” bagi pemimpin dalam parti Melayu tertua di negara ini untuk memaklumkan kepada ahli dan membersihkan sebarang salah faham mengenai kerjasama itu ketika parti kerajaan bersiap sedia untuk enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan selepas Julai.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan sebelum ini berkata perhimpunan agung Umno 2023 perlu digunakan sebagai “sesi pemanasan” untuk enam PRN akan datang.

Ahmad Maslan mencadangkan jurucakap setiap sayap parti terutama dari enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya menggunakan sepenuhnya perhimpunan agung itu.

Ahmad yang juga timbalan pengerusi Umno Johor menambah jurucakap itu perlu menonjolkan aspek positif kerajaan perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Timbalan presiden parti Mohamad Hasan akan merasmikan perhimpunan tiga sayap - Pemuda, Wanita dan Puteri pada malam Rabu.

Perhimpunan parti utama itu akan bermula pada pagi Jumaat dengan ucapan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berkata apa yang paling penting ialah menamatkan kekeliruan yang menyelubungi anggota parti berkenaan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata pada masa ini Umno tidak mempunyai alasan kukuh untuk memberitahu ahlinya mengenai keputusan menerima Anwar dan DAP.

“Umno perlu membuat penjelasan yang jelas untuk semua berkenaan menerima Anwar dan DAP. Mereka perlu memuaskan hati ahli mereka, tampil dengan alasan kukuh mengapa mereka memilih DAP dan Anwar. Mereka perlu memaklumkan kepada ahli biasa mereka, pemimpin akar umbi dan penyokong tentang keputusan ini.

“Pada masa ini mereka tidak mempunyai jawapan yang jelas tetapi esok adalah peluang untuk mereka berbuat demikian,” kata Hisomuddin.

Beliau berkata Umno perlu ada nafas baharu untuk menarik pengundi Melayu menyokong semula parti Melayu itu selepas tewas teruk kepada parti Perikatan Nasional seperti PAS dan Bersatu pada PRU15. – 6 Jun, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen