Ketua PBB minta negara lihat jangkauan KDNK untuk kemajuan ekonomi 


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Antonio Guterres berkata taklimat dasar itu mencadangkan tiga metrik pelengkap.– Gambar AFP, 6 Jun, 2023.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menggesa negara anggota supaya bergerak ke arah pengukuran universal dan komprehensif bagi melengkapkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebagai metrik untuk kemajuan ekonomi, lapor Xinhua.

KDNK adalah metrik yang paling banyak digunakan untuk kemajuan ekonomi sesebuah negara yang menjadi proksi untuk penciptaan kekayaan dan kemajuan pembangunan selain memain peranan dalam menilai negara selain memperuntukkan sumber pembangunan, kata Guterres dalam pembentangan taklimat dasarnya.

“Ia akan terus menjadi metrik penting. Tetapi kini terdapat pengiktirafan yang semakin meningkat bahawa KDNK mengabaikan aktiviti manusia yang memulihara kehidupan dan menyumbang kepada kesejahteraan sambil meletakkan nilai yang tidak seimbang pada perkara yang merosakkan kita dan memusnahkan planet kita,” katanya kepada negara anggota.

Beliau berkata KDNK mengabaikan pembangunan mampan. Penebangan hutan, penangkapan ikan berlebihan dan perlombongan dan pembakaran bahan api fosil meningkatkan KDNK.

Namun KDNK tidak mengambil kira kemampanan alam sekitar, kerja penjagaan tanpa gaji serta kesan negatif terhadap manusia dan masyarakat daripada banyak aktiviti ekonomi.

“Kemajuan manusia bergantung kepada banyak faktor, daripada tahap kemiskinan dan kelaparan kepada ketidaksamaan dan perpaduan sosial selain terdedah kepada bencara iklim dan kejutan lain,” katanya.

Sesetengah negara mungkin mempunyai KDNK yang agak tinggi, namun disebabkan keadaan tertentu mereka mungkin menghadapi peningkatan risiko daripada kejutan ekonomi dan sebaliknya sesetengah negara yang mempunyai KDNK yang lebih rendah mungkin lebih berdaya tahan terhadap kejutan kerana kontrak sosial yang kukuh atau lokasi geografi yang melindungi mereka daripada kesan terburuk huru-hara iklim, katanya.

Guterres berkata taklimat dasar itu mencadangkan tiga metrik pelengkap yang lebih tepat dalam mencerminkan nilai manusia.

Tiga metrik itu adalah anggota membuat komitmen politik pada rangka kerja konsep yang menghargai dengan tepat perkara yang penting untuk manusia, planet dan masa depan, menetapkan set petunjuk yang lebih luas untuk memantau dan menganalisis kemajuan dan mengiktiraf pertukaran dan akibat, serta memberi sokongan kepada negara supaya mereka boleh membangunkan kapasiti data yang diperlukan untuk menjadikan metrik baharu beroperasi.

Ketiga-tiganya akan membawa usaha untuk bergerak melangkaui KDNK turun ke peringkat negara dan menambah baik pemantauan kemajuan pada Matlamat Pembangunan Mampan yang akhirnya mencapai tiga hasil utama iaitu tumpuan kepada kesejahteraan, menghormati kehidupan dan planet ini dan mengurangkan ketidaksamaan, kata Guterres.

Pada Isnin, Guterres  turut membentangkan taklimat dasar mengenai pembaharuan rangka bina kewangan antarabangsa dan Global Digital Compact. – Bernama, 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen