RUU pinda Akta Suruhanjaya Koperasi dibentang kali pertama


RANG Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu dibentangkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Beliau berkata RUU tersebut akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, pindaan kepada akta itu melibatkan pembahagian kuasa lembaga pengarah suruhanjaya dan untuk menyusun semula perjawatan dalam suruhanjaya berkenaan.

Menerusi pindaan itu, pentadbiran urusan dan hal ehwal harian suruhanjaya akan dijalankan jawatan yang baharu diwujudkan iaitu ketua pegawai eksekutif, manakala pengawasan pelaksanaan dasar akan dijalankan pengerusi yang pada masa kini dikenali sebagai Pengerusi Eksekutif.

Selain itu, pindaan itu juga melibatkan cadangan untuk mewujudkan dua jawatan baharu, iaitu timbalan ketua pegawai eksekutif dan setiausaha. – Bernama, 6 Jun, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen