Laporan LKAN dibentang, dibahas di Dewan Rakyat hari ini 


YANG Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan agar usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata perkara itu berikutan permintaan rakyat dan pegawai yang meminta agar laporan berkenaan dibincangkan secara terbuka khususnya melibatkan kewangan negara.

“Saya bekas pegawai kerajaan, PTD (pegawai tadbir diplomatik) dan ahli Dewan Rakyat. Saya banyak mendengar keluhan pegawai-pegawai dan rakyat yang meminta supaya laporan audit ini dibicarakan secara terbuka.

“Apa yang berlaku adalah PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) ada laporan, ada soal siasat tapi malangnya tidak banyak yang PAC sebut itu dilapor kepada orang awam… saya sebagai speaker merasakan laporan ini perlu dibincangkan dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Johari berkata keputusannya untuk membenarkan usul itu dibahaskan adalah muktamad dan mengarahkan ia dijalankan selepas persidangan berehat pada 2.30 petang tadi.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat tergendala hampir 30 minit selepas berakhirnya sesi soal jawab apabila Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertikam lidah mengenai keperluan usul itu dibahaskan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangkit menyatakan sepanjang sejarah Parlimen, LKAN tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat dan sebaliknya menjadi tugas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membuat teguran dan dapatan.

“Berdasarkan Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan, LKAN perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong dan perlu dibentangkankan dalam Dewan Rakyat, hanya dibentangkan bukan dibahaskan. Usul ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata pihak pembangkang menyokong usul itu namun tetap dengan pendirian supaya ia tidak dibahaskan. 

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang juga Pengerusi PAC turut bangkit menyokong kenyataan Takiyuddin dan menyatakan yang sepatutnya dibahaskan adalah laporan PAC kerana ia menjadi punca kuasa jawatankuasa itu untuk menyiasat isu yang dibangkitkan dalam LKAN.

“Pihak yang bertanggungjawab kepada laporan ini mestilah berada di sini untuk menjawab, bukan menteri kena jawab tapi ketua audit negara. Kalau diputuskan untuk menteri jawab, siapakah yang akan sediakan jawapan itu,” katanya.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula berpendapat meskipun LKAN tidak pernah dibahaskan sebelum ini, namun tidak menjadi kesalahan untuk berbuat demikian memandangkan Parlimen adalah institusi tertinggi untuk membincangkan isu dalam negara, selain ia menggambarkan reformasi Parlimen. 

“Ini laporan bukan dibuat di kedai kopi, ini LKAN. Sama-samalah kita tengok, tak kira kerajaan mana. Kalau melaksanakannya dengan baik, kita puji dan kalau ada yang tak betul, kita baik pulih untuk masa depan negara,” katanya. – Bernama, 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen