PJD Link peroleh pembiayaan RM922 juta


Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata syarikat kini boleh bergerak ke hadapan dengan baki fasa kewangan projeknya.– Gambar Laman Web PJD Link, 6 Jun, 2023.

PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link) memperoleh pembiayaan sebanyak RM922 juta sebagai sebahagian daripada pembiayaan projek yang diperlukannya untuk Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata syarikat kini boleh bergerak ke hadapan dengan baki fasa kewangan projeknya, yang termasuk menaikkan bahagian lebihan kos projek melalui pasaran sukuk.

“Keupayaan untuk membiayai projek itu adalah antara syarat duluan di bawah perjanjian konsesi, selain mendapatkan kelulusan untuk laporan impak sosial, alam sekitar dan trafik,” katanya.

PJD Link ialah pemegang konsesi bagi cadangan PJD Link Expressway, iaitu lebuh raya berkembar dua lorong (empat lorong) sepanjang 25.4 km yang bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya SPRINT, Damansara. Ia berakhir di persimpangan lebuh raya Bukit Jalil.

Projek itu bertujuan untuk menambah baik kesesakan lalu lintas dan menampung pertumbuhan kenderaan masa depan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. PJD Link memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia pada 5 April 2022.

Dalam kenyataan yang sama, PJD Link juga berkata ia telah menandatangani perjanjian induk dengan MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia) untuk melantik MCC Malaysia sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan PJD Link Expressway.

MCC Malaysia ialah anak syarikat China Metallurgical Group Corporation, sebuah konglomerat kejuruteraan pembinaan yang disenaraikan di bursa Shanghai dan Hong Kong. – Bernama, 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen