PM akan jelaskan tindakan kerajaan berhubung gesaan Sanusi


Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan beri penjelasan berhubung gesaan MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah. – Gambar Facebook, 6 Jun, 2023.

TINDAKAN kerajaan terhadap gesaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, akan dijelaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, perkara berkenaan akan dijawab Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus mesyuarat Dewan Rakyat bermula 10 pagi.

Anwar dijadual berbuat demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan memandangkan isu itu memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Pada sesi MQT, Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) juga dijadual bertanya mengenai kesan kejatuhan nilai ringgit kepada proses pemulihan ekonomi negara dan pendekatan yang akan digunakan untuk mengukuhkan nilai mata wang itu.

Turut menjadi tumpuan hari ini ialah persoalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) pada sesi soal jawab tentang status terkini berserta tempoh jangka siap pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) ingin mengetahui langkah yang diambil kementerian terhadap pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Berasaskan Darjah (PBD), susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga termasuk kualiti aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan.

Sejurus selesai sesi soal jawab, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023 dijangka dibaca buat kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini bersidang selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Jun selepas bercuti selama seminggu. – Bernama, 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen