Melayu sokong Perikatan, bukan gelombang hijau, kata pemimpin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Ahli MPT Bersatu Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata sokongan kepada PN pada PRU15 adalah gelombang sokongan Melayu dan bukan hanya daripada penyokong PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2023.

SOKONGAN kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah gelombang sokongan Melayu dan bukan hanya daripada penyokong PAS, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

Ketua Bahagian Bersatu Sungai Buloh berkata istilah “gelombang hijau” yang digunakan untuk menggambarkan sokongan Melayu itu semata-mata mahu menakutkan pengundi bukan Melayu di kawasan bandar.

“Ini adalah satu ‘tagline’ yang cuba digunakan DAP untuk menakutkan pengundi Cina di bandar… untuk rekod gelombang hijau bukan ‘tagline’ kami, dan tidak pernah menjadi ‘tagline’ kami.

“Orang pertama menyebut gelombang hijau adalah DAP… Lim Kit Siang orang pertama sebut gelombang hijau,” kata Mohd Rafiq, kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui baru-baru.

PN bagaimanapun katanya enggan terperangkap dengan istilah berkenaan sebaliknya menegaskan enggan dikaitkan dengan slogan tersebut.

“Ini adalah satu ‘tagline’ yang cuba digunakan DAP untuk menakutkan Cina di bandar. Kita tak gunakan istilah gelombang hijau bahkan kita putuskan Selangor negeri Bersatu, menteri besar kalau PN menang akan dilantik daripada seorang Adun Bersatu setelah diperkenan Sultan Selangor.

“Istilah gelombang hijau bukan diwar-warkan PAS atau Bersatu. Ia digunakan Lim Kit Siang dan kita tak mahu terperangkap. Kita guna istilah ‘Selangor Baharu’ untuk Selangor,” katanya.

Mohd Rafiq berkata, beliau yakin momentum yang dimulakan rakyat itu masih membara seperti mana PRU15 lalu dan akan membantu PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Selain Selangor, lima lagi negeri yang akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, dan Kelantan, berikutan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing tidak dibubarkan ketika PRU15 pada November tahun lalu.

Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi negeri yang dipimpin Bersatu sekiranya gabungan PN berjaya menang di negeri tersebut manakala Kedah, Kelantan, dan Terengganu kekal menjadi negeri dipimpin PAS.

Mohd Rafiq menjangkakan, momentum sokongan orang Melayu kepada PN seperti ditunjukkan pada PRU15 lalu tidak akan terhenti dan sebaliknya akan menunjukkan peningkatan dalam PRN akan datang.

“Momentum itu dibuktikan oleh rakyat, yang mengundi kita bukan orang PAS sahaja, secara statistiknya orang Melayu, gelombang Melayu lebih betul.

“Yang mengundi kita bukan semata-mata orang PAS, yang mengundi kita orang Melayu keseluruhannya,” katanya.

“Kita mendapat hampir 58% undi orang Melayu kepada PN (PRU15 ) hari ini dan kita yakin dalam PRN kali ini peratusan undi Melayu kepada PN akan meningkat mungkin sehingga 80%,” katanya.

Sumber berkata kepada The Malaysian Insight, pimpinan PN pernah membangkitkan sama ada ingin menggunakan slogan Gelombang Hijau dalam satu mesyuarat sebelum ini.

Namun begitu, mereka juga sedar PH menggunakan slogan tersebut bertujuan untuk menakutkan pengundi.

Bagi meneruskan momentum sokongan tersebut, PN akan menganjurkan siri ceramah bermula pada 4 Jun ini di Tanjong Karang, dikenali sebagai Jelajah Selangor Baharu.

Ia adalah permulaan kepada siri jelajah ke seluruh Selangor bagi mencetuskan gelombang perubahan rakyat dalam usaha mengambil alih pentadbiran negeri daripada PH selepas PN berjaya menawan enam kawasan Parlimen di negeri itu pada PRU15.

Ia termasuklah Sungai Besar, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kapar.

Kawasan tersebut adalah antara 74 kerusi Parlimen dimenangi PN pada PRU15 selain berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu, termasuk merampas Perlis dari Barisan Nasional (BN) buat pertama kali.

PAS yang menang 49 kerusi Parlimen menjadi parti mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak di Dewan Rakyat.

Umno dan BN sekadar mendapat 30 kerusi kemudiannya membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) dan parti Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai kerajaan perpaduan.

Susulan itu, Kit Siang yang juga veteran DAP menggesa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan dasar reformasi dan pembinaan semula negara agar tidak tenggelam dalam arus “gelombang hijau PAS”.

Malah, beliau juga khuatir Malaysia akan menjadi negara Islam sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang. – 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen