Banyak isu panas dibangkitkan menjelang PRN, kata pemerhati 


Noel Achariam Mohd Farhan Darwis

Daripada enam negeri yang akan mengadakan PRN, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada di tangan PH manakala PAS/PN menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2023.

MASALAH air di Kelantan, tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang, kes rasuah membabitkan pemimpin Bersatu adalah beberapa isu yang mungkin akan menjadi tumpuan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai bahan kempen dalam pilihan raya negeri akan datang, kata pemerhati politik.

Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) akan cuba menjelaskan kegagalan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dalam meningkatkan ekonomi dan menyekat kos sara hidup yang semakin meningkat, dan bagaimana mereka (PN) adalah pelindung sebenar agenda Melayu/Islam dalam negara, tambah penganalisis itu.

Mereka berkata PH dan BN juga akan menggunakan pilihan raya sebagai referendum mengenai dasar yang mereka promosikan sejak enam bulan lalu.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata pilihan raya negeri akan datang adalah penting bagi ketiga-tiga gabungan itu kerana mereka mahu membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan rakyat.

“Parti yang gagal mendapat sokongan pengundi hanya akan mencerminkan sejauh mana mereka jatuh dalam landskap politik negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Baginya, beberapa isu utama yang akan digunakan dalam kempen tersebut termasuklah kos sara hidup yang tinggi, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan Kadar Dasar Semalaman.

Mengenai isu berkaitan kaum dan agama, beliau berkata kontroversi isu “Allah” baru-baru ini akan dihidupkan semula untuk menunjukkan siapa yang lebih melindungi bangsa Melayu dan agama Islam.

“Inilah yang mungkin dilakukan PN untuk menarik pengundi.

“Bagaimanapun, kerajaan perpaduan mungkin menangani isu-isu ini dengan mengatakan pentadbiran mereka stabil dan rakyat harus menyokong mereka ketika mereka berusaha ke arah kestabilan politik dan ekonomi untuk negara.

“Kerajaan perpaduan juga mungkin memainkan isu mengenai integriti pemimpin PN, seperti kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.”

Mazlan juga berkata selain isu peringkat nasional, setiap gabungan itu juga akan memainkan isu setempat di semua lima negeri.

“Sebagai contoh di Kelantan, parti akan fokus kepada isu air di sana. Pakatan PH/BN akan kata Kelantan perlukan perubahan dalam kerajaan untuk menyelesaikan krisis air mereka.

“Di Terengganu, kerajaan perpaduan mungkin membangkitkan isu kekurangan pembangunan ketara di bawah pentadbiran PAS.

“Jadi, mereka mungkin berkata untuk membawa kemajuan di pantai timur dan utara, adalah lebih baik pengundi menyokong PH dan BN yang juga rakan kongsi dalam kerajaan persekutuan.”

Beliau berkata kerajaan perpaduan mungkin juga membangkitkan isu tuntutan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ke atas kedaulatan Pulau Pinang baru-baru ini.

Daripada enam negeri yang akan mengundi, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada di tangan PH manakala PAS/PN menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu. – 6 Jun, 2023.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen