Bekas PM New Zealand Jacinda Ardern dilantik sebagai Dame


Bekas PM New Zealand Jacinda Ardern menerima anugerah tertinggi negara sempena ulang keputeraan diraja hari ini. – Gambar EPA, 5 Jun, 2023.

BEKAS perdana menteri New Zealand Jacinda Ardern menerima satu daripada anugerah tertinggi negara sempena ulang keputeraan diraja hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ardern, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Januari, dilantik sebagai “Dame Grand Companion of the New Zealand Order of Merit” atas sumbangannya kepada negara.

Ini merupakan anugerah kedua tertinggi selepas Order of New Zealand, yang hanya dianugerahkan kepada 20 yang masih hidup.

Ardern, sebelum ini pernah menyatakan beliau percaya negara ini akan menjadi sebuah republik dalam hayatnya, berkata beliau “teragak-agak” untuk menerima anugerah itu.

“Tetapi saya mendengar saranan ramai rakyat New Zealand untuk menerima anugerah ini. Jadi bagi saya, ini adalah satu cara untuk mengucapkan terima kasih – kepada keluarga saya, kepada rakan sekerja, dan kepada yang menyokong saya dalam melaksanakan peranan paling mencabar dan memberi kepuasan dalam hidup saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ardern diberi pengiktirafan atas perkhidmatannya semasa berdepan beberapa “cabaran terbesar yang dihadapi negara”, kata Perdana Menteri Chris Hipkins.

“New Zealand bertindak balas terhadap serangan pengganas pada 2019 (di Christchurch) dan pandemik Covid-19 merupakan cabaran yang hebat bagi perdana menteri ke-40 kita, di mana saya sendiri melihat komitmennya kepada New Zealand adalah mutlak.”

Ardern turut memberi tumpuan terhadap pengurangan kemiskinan kanak-kanak di New Zealand.

Beliau turut tersenarai dalam kategori “50 Pemimpin Terhebat Dunia” oleh Majalah Fortune pada 2021. – Bernama, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen