839 terima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena hari keputeraan Agong


Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran PSM yang membawa gelaran 'Tan Sri'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

SERAMAI 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri”.

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Patmanathan, mantan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, mantan menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad Ng Hook.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad Gan Seong Liam, Pengerusi DPS Resources Berhad Sow Chin Chuan, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Nik Norzul Thani N.Hassan Thani dan komposer Ahmad Khan Nawab Khan.

Turut menerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif Yuwang Group See Hong Cheen @ See Hong Chen, Pengerusi Battersea Power Station Holding Company Limited Jaganath Derek Steven Sabapathy, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar dan Pengerusi/ Pengarah Perusahaan Sadur Timah Malaysia (PERSTIMA) Berhad Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon.

Penerima lain ialah Pengarah Urusan Winfast Group of Companies Chee Chan Yau @ Cheah Chan Yau, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ming Heng Motor Sdn Bhd Koh Chui Ming, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Urusan Cergas Murni Sdn Bhd Paul Latimer.

Selain itu Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad Yeoh Choon San, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KK Land Group of Companies Kong Hoi Chieng, Pengarah Urusan Twin Arrow Fertilizer Sdn Bhd Lau Kuan Kam, Panglima Tentera Laut Laksamana Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jeneral Mohammad Ab Rahman.

Turut dikurniakan PSM ialah mantan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Anifah Aman dan veteran politik Lim Kit Siang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali @ Mat Jali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, bekas pemain badminton negara Tan Aik Huang dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave merupakan antara 28 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran “Datuk”.

Empat penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran “Datuk” pula ialah Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman, Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Mohd Aini Atan, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Abdul Halim Hamzah dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Arman Rumaizi Ahmad.

Seramai 33 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Bagi penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula, 33 individu disenaraikan sebagai penerima antaranya penggiat seni Fauziah Nawi, Ketua Polis Perlis Surina Saad dan Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Tiga penerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) ialah Asisten Ketua Staf Tadbir Pangkalan Udara Subang Brig Jen Baharudin Abu Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji dan Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Bahagian Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman SAC Mohammad Azlin Sadari.

Seramai 116 individu dikurniakan darjah kebesaran Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dr Abdul Halim Husain dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Dr Ong Shin Ruenn.

Tahun ini juga menyaksikan seramai enam orang menerima darjah kebesaran Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 218 individu menerima darjah kebesaran Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurutera Sokongan Bernama Mohd Halim Esham.

Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Bahagian Modal Insan Bernama Rusliza Sahran pula antara 316 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala 56 individu dikurniakan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD). – Bernama, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • As far as I am concerned that Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Dr Ong Shin Ruenn was never conferred with Dr before this award KMN. Can you please check the fact ?

    Dimuat naik 10 bulan yang lalu oleh Anthony Chong · Ulasan