Pegawai patuh SOP ketika serbuan rumah warga emas, kata imigresen


Jabatan Imigresen berkata serbuan pada Jumaat lalu di unit kondominium milik pasangan warga emas di Kuala Lumpur mengikut SOP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

JABATAN Imigresen mengesahkan pegawainya mematuhi prosedur operasi standardnya (SOP) ketika masuk ke unit kondominium pasangan warga emas di Kuala Lumpur, termasuk membuka pintu depan secara paksa, kata pengarahnya.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin dilaporkan berkata serbuan pada awal pagi Jumaat di pangsapuri pasangan itu berdasarkan aduan yang diterima.

Beliau berkata pegawainya mengetuk pintu selama “10 hingga 15 minit” tetapi tiada jawapan.

“Apabila pegawai melihat banyak selipar di luar rumah, dan tiada sesiapa membuka pintu, kami memecahkan pintu itu.

“Dakwaan kami tidak memperkenalkan diri adalah tidak benar. Apabila kami mengetuk pintu itu sendiri, kami memperkenalkan diri dari Jabatan Imigresen.

“Kami mempunyai SOP apabila kami memasuki rumah. Kami bertindak berdasarkan aduan dan maklumat. Kami beruniform, bukan baju biasa. Jadi mustahil perkara ini (tidak mengenal pasti diri kami) berlaku,” katanya dipetik FMT.

Beliau juga berkata jabatan itu akan berhubung dengan pemilik rumah untuk menyelesaikan isu itu.

“Kita perlu bercakap dengan pemiliknya terlebih dahulu untuk melihat apa ceritanya. Kami akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu,” katanya lagi.

Menurut laporan berita, pasangan tempatan itu mendakwa seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai imigresen memecahkan pintu unit kondominium mereka dan menyerbu masuk ke dalam bilik tidur pada pukul 3 pagi di Kondominium Putra Majestic pada Jumaat.

Pasangan itu berkata lelaki berkenaan mengarahkan mereka menunjukkan MyKad tetapi dia tidak memberikan sebarang bentuk pengenalan diri.

Mereka kemudian membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul sebelum menghubungi pihak imigresen berhubung serbuan itu.

Polis merujuk semula kes itu ke jabatan imigresen untuk tindakan susulan. – 5 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen