Ahli Parlimen Lubnan calonkan pegawai IMF jadi presiden


Pengarah Serantau IMF Jihad Azour dicalonkan sebagai presiden Lubnan bagi mengisi jawatan yang kosong sejak tujuh bulan lalu susulan pergolakan politik. – Gambar AFP, 5 Jun, 2023.

AHLI Parlimen Lubnan mencalonkan Pengarah Serantau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Jihad Azour yang juga bekas menteri kewangan sebagai presiden bagi mengisi jawatan yang kosong sejak tujuh bulan lalu susulan pergolakan politik.

Penggal bekas presiden Michel Aoun tamat pada Oktober lalu tanpa pengganti.

Sejak itu, terdapat 11 sesi pengundian Parlimen untuk menamakan presiden baharu tetapi perpecahan menghalang mana-mana pemimpin daripada meraih sokongan mencukupi untuk menggantikan Aoun.

Lubnan yang dilanda krisis ditadbir kerajaan sementara dengan kuasa terhad sejak pilihan raya pada Mei 2022 menyebabkan tiada pihak yang mempunyai majoriti yang jelas.

Semalam, Ahli Parlimen Mark Daou membaca kenyataan bagi pihak sekumpulan 32 ahli Parlimen menyokong Azour selepas rundingan berminggu-minggu “sebagai calon yang tidak dianggap provokatif oleh mana-mana faktor politik di negara ini.”

Ahli Parlimen yang sama sebelum ini menyokong seorang lagi calon presiden, Ahli Parlimen Michel Moawad, yang pada hari sama mengumumkan menarik balik pencalonannya dan menyokong Azour.

Azour, pengarah IMF Asia Barat dan Asia Tengah berkhidmat sebagai menteri kewangan Lubnan dari 2005 hingga 2008.

Beliau masih belum mengumumkan secara rasmi tawaran presiden itu.

Masyarakat antarabangsa menggesa Lubnan segera mengisi jawatan presiden bagi membolehkan negara yang terperangkap dalam krisis ekonomi sejak 2019 melaksanakan pembaharuan yang diperlukan, sekali gus membuka laluan kepada pinjaman IMF yang sangat diperlukan.

Mengikut konvensyen, jawatan presiden Lubnan diserahkan kepada seorang Kristian Maronit, jawatan perdana menteri dikhaskan untuk Muslim Sunni dan jawatan speaker Parlimen diberikan kepada seorang Muslim Syiah.

Gerakan Syiah Hizbullah yang disokong Iran, yang mempunyai pegangan besar dalam politik di Lubnan menyokong Sleiman Frangieh yang pro-Syria untuk jawatan presiden.

Bagaimanapun tentangan daripada dua parti Kristian utama negara itu bermakna Frangieh tidak mempunyai laluan yang jelas kepada sokongan majoriti dalam parlimen yang berpecah itu.

Ahli Parlimen Hizbullah Hassan Fadlallah menyifatkan pencalonan Azour membazir masa, menurut kenyataan yang dilaporkan media tempatan, menegaskan “calon konfrontasi” tidak akan dipilih sebagai presiden.

Sekutu Kristian utama pergerakan Syiah, Gerakan Patriotik Bebas, berkata ia akan menyokong Azour. – AFP, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen