Arab Saudi kurangkan lagi pengeluaran minyak 1 juta tong sehari


Arab Saudi adalah negara pengeluar minyak terbesar dunia. – Gambar EPA, 5 Jun, 2023.

RIYADH pada Ahad mengumumkan mengurangkan pengeluaran minyak baharu berikutan mesyuarat pengeluar utama bagi menaikkan harga walaupun bimbang berlakunya kemelesetan.

Mesyuarat 13 anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) yang diketuai oleh Arab Saudi dan 10 rakan kongsinya, diterajui oleh Rusia, menyaksikan beberapa rundingan yang sukar.

Pengurangan baharu Arab Saudi sebanyak 1 juta tong sehari (bpd) adalah untuk Julai tetapi “mungkin dilanjutkan”, kata menteri tenaganya Putera Abdulaziz bin Salman kepada pemberita selepas mesyuarat Opec+ selama beberapa jam di ibu pejabat kumpulan itu di Vienna.

Penganalisis sebahagian besarnya menjangkakan pengeluar Opec+ mengekalkan dasar semasa mereka, tetapi beberapa tanda dilihat hujung minggu ini yang 23 negara itu sedang mempertimbangan lebih banyak pengurangan.

Pada April, beberapa ahli Opec+ bersetuju mengurangkan pengeluaran secara sukarela sebanyak lebih 1 juta tong sehari tetapi gagal membawa pemulihan berkekalan.

Pengeluar minyak sedang bergelut dengan kejatuhan harga dan turun naik pasaran yang tinggi di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.

Harga minyak menjunam kira-kira 10% sejak pemotongan April diumumkan, dengan minyak mentah Brent jatuh hampir kepada AS$70 setong, tahap yang tidak didagangkan di bawah sejak Disember 2021.

Peniaga bimbang permintaan akan merosot, dengan kebimbangan mengenai kesihatan ekonomi global ketika Amerika Syarikat menghadapi inflasi dan kadar faedah lebih tinggi manakala pemulihan pasca Covid China terhenti.

Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak berkata pemotongan pengeluaran semasa dilanjutkan sehingga akhir 2024 selepas meneliti perkara itu “untuk masa yang lama”.

Menurut jadual Opec+ tahap pengeluaran yang diperlukan untuk tahun depan, Emiriah Arab Bersatu akan dapat mengeluarkan lebih banyak berbanding sekarang, manakala beberapa negara termasuk Angola, Republik Congo dan Nigeria dipotong kuota mereka.

Agensi berita Bloomberg melaporkan negara Afrika keberatan mengurangkan kuota mereka walaupun gagal memenuhinya.

“Kami mempunyai perjanjian yang menggembirakan semua orang,” kata menteri hidrokarbon Republik Congo Bruno Jean-Richard Itoua selepas mesyuarat itu.

Tiada perselisihan faham

Mesyuarat Ahad juga dipantau teliti kerana Rusia ingin mengekalkan pengeluarannya, manakala Arab Saudi mahu menaikkan harga bagi mengimbangi bajetnya, menurut penganalisis.

Pada Mac 2020, pakatan itu hampir terjejas apabila Moscow enggan mengurangkan pengeluaran minyak walaupun pandemik Covid menyebabkan harga jatuh.

Selepas rundingan gagal, Riyadh membanjiri pasaran dengan meningkatkan eksport ke paras rekod sebelum kedua-dua negara mencapai persetujuan.

Ditanya sama ada terdapat perselisihan faham dengan Arab Saudi hujung minggu ini, Novak berkata: “Tidak, kami tiada perselisihan faham, ia adalah keputusan bersama.”

Penganalisis berkata harga minyak dijangka meningkat dalam jangka pendek berikutan langkah Riyadh.

Negara Opec+ mengeluarkan kira-kira 60% daripada minyak dunia. Mesyuarat kumpulan seterusnya dijadualkan pada 26 November. – AFP, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen