Kakak Kim Jong Un selar PBB berkait satelit peninjau


Kim Yo Jong melahirkan rasa tidak puas hati terhadap UNSC dan menegaskan Korea Utara akan terus melaksanakan 'semua hak yang sah' sebagai sebuah negara berdaulat, termasuk untuk melancarkan satelit. – Gambar AFP, 4 Jun 2023.

KOREA Utara pada Ahad menyelar tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bermesyuarat minggu lalu yang menyentuh mengenai pelancaran satelit peninjau, dan menyifatkan ia sebagai sangat tidak adil dan berat sebelah selain mencampuri urusan hal ehwal dalaman, lapor Agensi Berita Yonhap.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), kakak kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un iaitu Kim Yo Jong melahirkan rasa tidak puas hati terhadap UNSC dan menegaskan Korea Utara akan terus melaksanakan “semua hak yang sah” sebagai sebuah negara berdaulat, termasuk untuk melancarkan satelit. 

Korea Utara pada Rabu lalu melancarkan apa yang didakwa sebagai roket peninjau satelit, tetapi gagal apabila ia jatuh ke Laut Kuning, menurut tentera Korea Selatan.

Amerika Syarikat (AS) dan negara lain menggelar pelancaran itu sebagai pelanggaran terhadap beberapa resolusi UNSC. Di bawah resolusi PBB, Korea Utara dilarang daripada sebarang penggunaan teknologi peluru berpandu balistik.

“Saya sangat tidak berpuas hati kerana UNSC sering mempertanggungjawabkan pelaksanaan hak Korea Utara sebagai negara berdaulat atas permintaan AS dan mengutuk sekeras-sekerasnya serta tindakan yang disifatkan paling tidak adil dan berat sebelah dengan mencampuri urusan dalaman dan melanggar kedaulatan negara,” kata Kim.

Beliau berkata banyak negara lain turut melancarkan dan mengendalikan satelit bukan hanya Korea Utara sahaja.

“Ia adalah realiti sejagat hari ini bahawa lebih 5,000 satelit dengan pelbagai tujuan dan misi kini berada di orbit mengelilingi Bumi malah syarikat swasta turut mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan angkasa lepas,” katanya. – Bernama, 4 Jun 2023.


Kim berkata Korea Utara akan terus mengambil langkah “proaktif” untuk melaksanakan “semua hak sah sebuah negara berdaulat,” termasuk pelancaran satelit peninjau tentera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen