19 universiti tawar sistem pembelajaran hibrid, jadual anjal


Melalui sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, pelajar hanya akan menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal di 19 universiti awam, umum menterinya Mohamed Khaled Nordin.

Melalui sistem itu, pelajar hanya akan menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.

Khaled berkata sebanyak 95 program pengajian ijazah sarjana muda daripada universiti awam terbabit bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan sesi akademik 2023/2024.

“Pada tahun-tahun di pertengahannya, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas. Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja.

“Melalui inisiatif ini bermakna pelajar universiti boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja, sekali gus mereka dapat menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini.

Sistem sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal kata Khaled, juga akan mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan pelajar, selain membuka ruang untuk mereka bekerja sambilan.

Beliau selain itu memaklumkan KPT telah mengenal pasti 44 program pengajian di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk dipendekkan tempoh pengajian dari empat tahun kepada tiga tahun. – 4 Jun 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen