Perikatan mesyuarat esok muktamadkan agihan kerusi PRN, lapor media


Perikatan Nasional sebelum ini dilapor setuju menetapkan Bersatu menerajui pentadbiran negeri sekiranya berjaya merampas Selangor daripada Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) akan bermesyuarat esok untuk memuktamadkan agihan kerusi antara komponennya bagi enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka akan berlangsung Ogos ini, lapor Mingguan Malaysia.

Mesyuarat itu juga akan menyelesaikan agihan kerusi melibatkan tuntutan bertindih antara parti komponen dalam gabungan itu, antaranya kerusi Pelabuhan Klang di Selangor, kata Setiausaha PAS Selangor Ros­lan Shahir Mohd Shahir.

“Pembahagian kerusi akan diselesaikan pada Isnin ini (esok) melibatkan semua ne­geri termasuk Selangor. 

“Selepas itu, kita akan memutuskan pula calon-calon yang akan bertanding dalam PRN,” katanya, seperti dipetik akhbar itu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan PN yakin menang sehingga 33 kerusi di Selangor, dengan Bersatu dijangka bertanding di 19 kawasan dan PAS pula di 17 kawasan.

PN juga dilapor setuju menetapkan Bersatu menerajui pentadbiran negeri sekiranya berjaya merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

PH masih runding dengan BN di Selangor

Sementara itu, PH masih berunding dengan sekutunya Barisan Nasional (BN) yang meminta tambahan tujuh kerusi daripada 10 yang ditawarkan sebelum ini, lapor Malaysiakini.

Umno menyandang empat kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Selain empat kerusi itu, PH menawarkan kepada BN enam kerusi lagi yang dimenangi oleh PN melalui Bersatu dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

BN bagaimanapun meminta tambahan kerusi antaranya Sungai Kandis, Kuala Kubu Bharu, Dengkil, dan Sentosa.

“MCA hendak tanding Kuala Kubu Bharu, yang sekarang disandang oleh DAP. Sementara itu, MIC mahu tanding sama ada Sentosa atau Dengkil,” kata sumber Umno, seperti dipetik Malaysiakini.

Pada PRU14, PH yang ketika itu disertai Bersatu menang 52 daripada 56 kerusi untuk mempertahankan mandat mentadbir Selangor yang dipimpinnya sejak 2008.

Bersatu kemudian keluar daripada gabungan itu dalam percaturan politik Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020. – 4 Jun 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen