Ketua polis Pulau Pinang tidak tunduk ugutan along


KETUA Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin menyifatkan ugutan atau ancaman yang diterimanya daripada sindiket along adalah perkara lumrah dan sentiasa dihadapi oleh polis dalam melaksanakan tugas membanteras jenayah.

Katanya, beliau tidak akan tunduk dengan ugutan atau ancaman oleh mana-mana sindiket haram terhadapnya.

“Sebagai ketua polis Pulau Pinang, saya dan Polis Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan haram dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, pihaknya juga akan terus mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang mengugut atau mengancam dirinya mahupun Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Khaw berkata demikian mengulas laporan polis yang tular mengenai beliau menerima surat ugutan daripada sekumpulan along yang mengugutnya supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

Difahamkan ketua polis Pulau Pinang itu menerima surat yang dihantar ke pejabatnya pada Khamis.

Menerusi surat itu, suspek memberi amaran kepada Khaw dan pihak polis memberi kerjasama kepada mereka jika tidak akan menyimbah cat, asid, malah turut mengugut akan menembak.

Suspek turut mengugut mahu membakar kedai atau balai polis dan menerusi surat itu turut disertakan enam keping wang kertas yang digunakan untuk sembahyang orang Cina mati bersama sekeping kertas nota.

Susulan surat ugutan itu, polis membuka kertas siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Khaw memulakan tugas sebagai ketua polis negeri pada 12 Mei lalu menggantikan Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai ketua polis Kuala Lumpur. – Bernama, 3 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen