Korea Selatan teruskan misi cari serpihan roket pengintip Korea Utara


Korea Utara gagal melancarkan satelit pengintip apabila ia terhempas di Laut Kuning pada Rabu. – Gambar fail EPA, 3 Jun, 2023.

TENTERA Korea Selatan meneruskan operasi untuk mengesan dan mendapatkan serpihan roket Korea Utara yang terhempas di Laut Kuning awal minggu ini, lapor agensi berita Yonhap.

Dalam mesej teks yang dihantar kepada pemberita kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan, tentera berkata ia akan menangguhkan operasi pada Sabtu berikutan arus deras dan disambung semula Ahad.

“Bergantung kepada kemajuan operasi, kami boleh mendapatkan serpihan roket seawal esok (Ahad),” katanya.

Korea Utara melancarkan roket pembawa satelit pada Rabu tetapi terhempas ke dalam laut kerana enjin peringkat kedua tidak beroperasi secara normal, lapor media Korea Utara.

Pasukan penyelam memasang tali pada serpihan roket sepanjang 15 meter, yang tenggelam pada kedalaman 75m dari dasar laut.

Chollima-1, dianggarkan sepanjang antara 29 hingga 30m dan tiga kapal penyelamat dikerah untuk melaksanakan operasi itu.

Serpihan yang dikesan oleh tentera Korea Selatan pada Rabu dipercayai serpihan roket peringkat kedua dan ketiga pelancar.

Pegawai berkata terdapat kemungkinan untuk menemui satelit peninjau tentera, Malligyong-1, yang dipasang pada roket itu. – Bernama, 3 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen