AS, Jepun, Korea Selatan kongsi data amaran peluru berpandu Korea Utara


Korea Utara cuba melancarkan satelit pengintip pada Rabu tetapi ia terhempas ke laut selepas kegagalan roket. – Gambar AFP, 3 Jun 2023.

AMERIKA Syarikat, Jepun dan Korea Selatan menyasarkan untuk berkongsi data amaran peluru berpandu Korea Utara yang diharap dapat direalisasikan sebelum hujung tahun ini.

Hasrat itu diutarakan tiga negara berkenaan melalui satu kenyataan bersama menjelang mesyuarat ketua pertahanan negara berkenaan di Singapura hari ini.

Pengumuman itu susulan cubaan Korea Utara melancarkan satelit perisik yang berakhir dengan kegagalan apabila ia terjunam ke laut awal minggu ini, satu ujian dianggap haram dilakukan Pyongyang.

Tiga negara itu mengiktiraf usaha trilateral untuk mengaktifkan mekanisme perkongsian data, membolehkan mereka bertukar data amaran peluru berpandu secara masa nyata.

Menurut satu kenyataan bersama, tiga negara itu percaya perkongsian itu dapat mengukuhkan keupayaan masing-masing untuk mengesan dan menilai pelancaran peluru berpandu Korea Utara.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan rakan sejawatnya dari Jepun dan Korea Selatan, Yasukazu Hamada serta Lee Jong Sup bertemu pada sidang kemuncak pertahanan sempena Dialog Shangri-La.

Antara inti pati perbincangan menyentuh ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat didalangi Korea Utara, termasuk usaha mempertingkatkan lagi latihan keselamatan trilateral selain menangani isu lazim berkaitan cabaran keselamatan di rantau Indo-Pasifik.

Seoul, Tokyo dan Washington menyelar pelancaran satelit Korea Utara yang gagal kerana Pyongyang dikatakan melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Resolusi itu menghalang Pyongyang daripada melancarkan sebarang ujian menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

Korea Utara tidak memiliki satelit di angkasa lepas.

Pemimpinnya, Kim Jong Un menjadikan pembangunan satelit pengintip tentera sebagai keutamaan walaupun resolusi PBB menghalang penggunaan teknologi itu. – AFP, 3 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen