Pewartaan semula hutan simpan Kuala Langat dimuktamad, kata MB Selangor


Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebelum ini dimaklumkan oleh Exco negeri Hee Loy Sian pada Sidang DUN Selangor pada 30 Ogos 2021. – Gambar Facebook, 3 Jun, 2023.

PROSES pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini dinyahwartakan pada 2021 sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat majlis kerajaan negeri (MMKN) dua minggu lalu.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, isu pewartaan semula itu sudah selesai dan pelaksanaannya akan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

“Sudah (diwartakan semula) dalam MMKN dua minggu lalu. Jumlah keluasan hutan masih sama seperti sebelum ini. Pelaksanaan akan dilakukan oleh JPNS,” katanya ketika mengulas perkembangan proses pewartaan semula HSKLU.

Beliau berkata demikian selepas program sumbangan korban negeri Selangor 2023 di Shah Alam hari ini.

Penyahwartaan hutan simpan itu sebelum ini dimaklumkan oleh pengerusi jawatankuasa tetap pelancongan, alam sekitar, teknologi hijau dan hal ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 30 Ogos 2021.

Hee menyatakan keputusan itu dicapai semasa MMKN ke-17/2021 pada 5 Mei 2021 yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei tahun sama, dengan pihaknya memutuskan kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985. – Bernama, 3 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen