JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status amaran gelombang haba tahap satu untuk empat kawasan di semenanjung.
Menurut data terkini cuaca panas yang dimuat naik ke laman webnya pada 4 petang semalam, empat kawasan di semenanjung itu ialah Bentong, Temerloh, Kuantan di Pahang dan Kuala Krai di Kelantan.
Gelombang haba Tahap 1 bermaksud kawasan tersebut mencatatkan suhu antara 35 darjah Celsius dan 37 darjah Celsius selama tiga hari berterusan.
Jika suhu selama tiga hari berturut-turut direkodkan antara 37 darjah Celsius dan 40 darjah Celsius, kawasan itu kemudiannya berada di bawah gelombang haba Tahap 2 dan jika suhu melebihi 40 darjah Celsius untuk bilangan hari yang sama, maka ia berada di bawah kategori gelombang haba melampau Tahap 3.
Tahap amaran merujuk kepada suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Maklumat terkini cuaca panas setiap hari boleh didapati di laman web MetMalaysia.
Bulan lalu Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap penyakit berkaitan haba susulan gelombang panas yang berterusan di beberapa negeri.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kementerian merekodkan lima kes sedemikian setakat ini termasuk satu kematian sehingga April.
“Pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas dan kekurangan air minuman boleh memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.
“Simptom penyakit yang disebabkan oleh haba melampau termasuk sakit kepala, keletihan, tidak dapat menumpukan perhatian, pening, keletihan otot atau kekejangan dan loya.
“Dalam kes yang melampau, ia boleh menyebabkan dehidrasi, kekeliruan, kehilangan kesedaran atau koma,” katanya dalam satu kenyataan bulan lalu.
Radzi berkata lima kes yang dikesan setakat ini termasuk dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba di Sarawak.
Baki dua kes direkodkan di Kelantan - satu kes kelesuan haba, dan satu kes strok haba menyebabkan kematian. – 3 Jun, 2023.
Komen