DELEGASI Jawatankuasa Asean di Mexico City mengadakan lawatan kerja tiga hari ke negeri Colima di Mexico yang berakhir pada Khamis untuk mengukuhkan kerjasama dengan wilayah tempatan itu, khususnya dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan, pertanian dan pelabuhan.
Delegasi yang melibatkan duta besar Filipina, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Thailand bertemu Gabenor Negeri Colima Indira Vizcaíno Silva.
Mereka turut menghadiri Forum Perniagaan Asean-Colima dan melawat Universiti Colima, kluster pelabuhan Manzanillo dan beberapa perniagaan tempatan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Pegawai dan perniagaan Mexico amat menghargai kemungkinan mengukuhkan kerjasama dalam semua aspek dengan Asean, terutama dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan, dan logistik pelabuhan, yang akan membantu negeri Colima khususnya dan Mexico amnya untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan menarik lebih banyak modal pelaburan asing.
Duta Besar negara-negara Asean turut menandatangani Surat Niat untuk bekerjasama dengan negara itu dalam bidang pelancongan, pendidikan, kebudayaan dan perdagangan.
Sementara itu, Jawatankuasa Asean di Buenos Aires (ACBA), Argentina, mengadakan lawatan kerja ke wilayah Entre Rios di wilayah tengah Argentina dari 31 Mei hingga Jumaat.
Delegasi Asean yang terdiri daripada duta besar Vietnam, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Thailand, mengadakan sesi kerja dengan Gabenor Entre Ríos Gustavo Bordet, Datuk bandar Paraná, Adan Bahl dan pemimpin perusahaan utama di wilayah itu.
Pada mesyuarat itu, Gabenor Bordet menekankan bahawa negara anggota Asean adalah rakan dagang Entre Ríos yang boleh diharapkan dan penting.
Beliau menyatakan hasratnya untuk memperluas dan mengukuhkan pertukaran perdagangan antara wilayah itu dengan negara Asean, terutama dalam bidang pertanian, tenaga boleh baharu, pelancongan, pendidikan dan latihan. – Bernama, 3 Jun, 2023.
Komen