MAHKAMAH India menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap 11 lelaki kerana membunuh seorang peniaga daging beragama Islam yang mereka syak menghantar daging lembu, dalam sabitan pertamanya terhadap kes “keganasan terhadap lembu”.
Semua lelaki itu, termasuk seorang pekerja daripada parti pemerintah Perdana Menteri Narendra Modi didapati bersalah membunuh Alimuddin Ansari di Jharkhand pada Jun 2017.
Ia salah satu daripada banyak insiden serangan berkaitan dengan lembu, yang dianggap suci bagi penganut Hindu.
Semua tertuduh didakwa membunuh dan merusuh, mengikut kanun keseksaan India dan mahkamah di daerah Jharkhand menjatuhkan hukuman itu pada Rabu.
“Ini kes pertama di mana mahkamah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah kerana kes keganasan terhadap lembu,” kata pegawai polis kanan Rajesh Kumar.
India menyaksikan keadaan semakin tegang berhubung pembunuhan dan penyeludupan lembu di negara majoriti Hindu itu, di mana penyembelihan mereka dianggap kesalahan yang boleh dihukum di kebanyakan negeri, termasuk Jharkhand.
Sekumpulan individu, khususnya beragama Islam dan kasta rendah Dalit, menjadi sasaran kerana didakwa membunuh lembu atau makan dagingnya.
Ada kes yang hampir sama sedang dibicarakan, menurut laporan media India.
Badan pemantau hak asasi manusia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan siasatan yang bertanggungjawab terhadap kes membabitkan mereka yang melakukan jenayah kebencian.
Pengkritik Modi berkata kesalahan terhadap kes keganasan lembu semakin berkuat kuasa pada pilihan raya 2014 menerusi nasionalis sayap kanan masyarakat Hindu, Bharatiya Janata yang menjanjikan untuk menghalang penyembelihan lembu di seluruh India.
Pada Ogos, penduduk kampung di timur India memukul hingga mati, dua pengangkut lembu ternakan atas alasan untuk melindungi lembu. – AFP, 23 Mac, 2018.
Komen