Pengasas Toys R Us meninggal dunia


Pengasas Toys R Us, Charles Lazarus meninggal dunia hari ini pada usia 94 tahun, seminggu selepas syarikat itu mengumumkan operasinya tamat di AS. – Gambar AFP, 23 Mac, 2018.

PENGASAS gedung besar permainan Toys R Us, Charles Lazarus meninggal dunia hari ini pada usia 94 tahun, seminggu selepas syarikat itu mengumumkan operasinya tamat di Amerika Syarikat (AS).

“Banyak detik sedih melanda Toys R Us dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan tidak ada yang lebih menyakitkan daripada berita kematian pengasas tercinta, Charles Lazarus, selepas sekian lama mengalami masalah kesihatan,” kata satu kenyataan.

Lazarus yang lebih selesa berada di belakang tabir menubuhkan syarikat itu pada 1948.

Bermula sebagai sebuah kedai barangan penjagaan bayi dan kanak-kanak, ia kemudian berkembang menjadi salah satu jenama kanak-kanak yang paling dikenali di dunia.

“Beliau bapa perniagaan permainan kanak-kanak,” kata Michael Goldstein, yang menggantikan Lazarus sebagai ketua eksekutif, kepada CNN.

Minggu lalu, Toys R Us mengumumkan bakal membubarkan operasinya di AS dengan menutup semua 735 kedainya.

Syarikat gergasi yang menjadi mangsa ledakan jualan runcit online itu turut menyaksikan lebih 33,000 kakitangannya hilang pekerjaan. – AFP, 23 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen