Protes di Senegal bantah pemimpin pembangkang kena penjara


Polis Senegal guna gas pemedih mata bagi menyuraikan protes ganas yang tercetus di ibu kota Dakar dan bandar lain selepas ketua pembangkang Ousmane Sonko dijatuhi hukuman penjara. – Gambar AFP, 2 Jun, 2023.

POLIS di Senegal menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan protes ganas yang tercetus di ibu kota Dakar dan bandar-bandar lain selepas ketua pembangkang Ousmane Sonko dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana “mempengaruhi belia”.

Universiti Dakar bertukar menjadi medan perang, dengan kumpulan pemuda membaling batu ke arah polis yang bertindak balas melepaskan gas pemedih mata, menurut rakaman video.

Beberapa kenderaan di universiti itu dibakar, lapor Agensi Anadolu.

Di beberapa bahagian ibu kota, kumpulan anak muda menyerang harta awam, membakar tayar dan memasang penghadang di jalan raya.

Portal berita tempatan Seneweb.com, memetik sumber polis tanpa nama, berkata tiga orang terbunuh dalam protes di selatan bandar Ziguinchor dan seorang anggota polis telah digantung di pinggir Dakar oleh pemuda yang marah.

Bantahan juga dilaporkan di Casamance, Mbour dan Kaolack.

Sonko, presiden parti PASTEF-Patriots, dituduh merogol dan membuat ugutan bunuh terhadap Adji Sarr, seorang pekerja salun kecantikan di ibu negara, pada 2021.

Hakim Mahkamah Tinggi di Dakar membebaskan Sonko daripada dua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Sonko kerana merogol atau lima tahun kerana rasuah moral dan denda lebih AS$3,300.

Sonko menafikan pertuduhan, dan memboikot perbicaraan pada 16 Mei dan 23 Mei, namun Hakim Issa Ndiaye memutuskan untuk meneruskan prosiding tanpa kehadirannya.

Sonko, 48, mengaku pernah pergi berurut di salun itu untuk melegakan sakit belakang kronik dan mendakwa perbicaraan itu bermotifkan politik bagi menggagalkan usahanya untuk bertanding jawatan presiden pada pilihan raya 2024.

Beliau muncul di tempat ketiga dalam pilihan raya 2019 menentang penyandang Presiden Macky Sall.

Senegal menyaksikan protes ganas sejak Sonko pertama kali ditahan atas dakwaan merogol pada 2021.

Kawasan Ziguinchor menjadi lokasi pertempuran antara polis dan penyokong ketua pembangkang itu pada Mei, yang menyebabkan kematian tiga orang menjelang prosiding 16 Mei.

Sejak Ahad lalu, media tempatan melaporkan jalan-jalan menuju ke rumah Sonko di Dakar disekat oleh polis.

Penyokong Sonko berkumpul semalam untuk menganjurkan perarakan menyokongnya. – Bernama, 2 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen