SERAMAI 13 terbunuh dan berpuluh lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kompleks pangsapuri di bahagian selatan Vietnam, di hab komersial di bandar Ho Chi Minh City awal pagi tadi.
Kebakaran di bangunan tinggi Carina Plaza itu bermula tengah malam di tingkat bawah dan kemudian merebak ke bahagian atas.
Seorang pegawai berkata ramai mangsa yang mati kerana lemas ketika cuba melarikan diri dengan naik ke tingkat lebih tinggi.
“Seramai 13 ditemui mati dan berpuluh lagi cedera. Mereka meninggal dunia kerana lemas,” kata pegawai kerajaan yang enggan dinamakan.
Beliau berkata punca kebakaran belum diketahui.
Portal berita VietnamPlus berkata kebakaran bermula di tempat letak kereta bawah tanah yang bersambung dengan blok kompleks pangsapuri itu.
Api dapat dipadamkan pada waktu subuh, sementara asap tebal masih berada di kawasan sekitar untuk beberapa jam selepas itu.
Kompleks pangsapuri itu termasuk beberapa bangunan setinggi antara 15 dan 22 tingkat, dibina enam tahun lalu di kawasan kediaman di Ho Chi Minh, bandar terbesar di Vietnam.
Kompleks itu dilengkapi kolam renang, gelanggang tenis, tadika dan kedai.
Ia kebakaran paling teruk di Vietnam sejak 2016, iaitu selepas insiden karaoke terbakar di Hanoi menyebabkan 13 maut, kebanyakannya kakitangan awam yang maut di dalam bilik kalis bunyi. – AFP, 23 Mac, 2018.
Komen