Muhyiddin sambut tawaran kerjasama Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2023.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaannya untuk kembali bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kesediaannya untuk bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu susulan perkembangan politik semasa yang mengakibatkan orang Melayu dan Islam berada di persimpangan getir.

“Saya menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam. 

“Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir,” kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri kelapan itu turut berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan mana-mana tokoh Melayu dan Islam yang berhasrat untuk membela negara.

“Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” kata Muhyiddin.

Dr Mahathir dalam satu wawancara bersama portal Malaysia Now dilapor menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Muhyiddin, selepas kedua-dua pemimpin itu membawa haluan masing-masing selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir berkata kerjasama itu boleh berlangsung jika mereka dapat mencapai matlamat yang sama.

Katanya usaha memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Hubungan Dr Mahathir dan Muhyiddin mula dilanda krisis susulan episod Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.

Ketika itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu membawa partiu keluar daripada gabungan PH sementara Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, menyebabkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tumbang.

Dr Mahathir kemudian menubuhkan Pejuang, namun gagal mendapat sokongan rakyat dalam PRU15. – 2 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen