LIM Guan Eng menyeru 1.8 juta penduduk Pulau Pinang menghukum Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang susulan tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata kenyataan Sanusi itu adalah strategi untuk meraih sokongan pengundi Kedah pada PRN.
“Rakyat Pulau Pinag harus mempertahankan kedaulatan negeri mereka dengan memberi PN pengajaran yang secukupnya kerana mengkhianati hak Pulau Pinang untuk wujud di Malaysia.
“Sanusi juga tidak jujur dengan mendakwa Kedah masih mempunyai tuntutan yang sah kepada Pulau Pinang kerana Pulau Pinang telah membuat bayaran ex-gratia atau pajakan tahunan kepada Kedah.
“Ini tidak benar. Pulau Pinang tidak pernah membayar satu sen pun bayaran ex-gratia atau pajakan kepada Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, Sanusi dilaporkan berkata Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi menyokong dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaan beliau bahawa Kedah memiliki Pulau Pinang, katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Sanusi juga berkata generasi sekarang perlu membetulkan “sejarah yang dijulingkan” dan meminda Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata mengulangi dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dengan menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memadamkan Pulau Pinang daripada peta Malaysia.
“Jika Pulau Pinang boleh dipadamkan secara semberono, maka tiada apa yang menghalang hak asasi dan kebebasan sivil rakyat Malaysia biasa daripada dihapuskan oleh pentaksub perkauman dan pelampau,” katanya.
Tambah beliau, Sanusi mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda kerana menteri besar Kedah itu tidak celik undang-undang untuk menyokong dakwaannya.
Jelasnya, di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada struktur asas 14 buah negeri yang membentuk negeri-negeri Persekutuan Malaysia.
“Perkara 1(3) memberi pengiktirafan kepada Pulau Pinang dengan wilayahnya sendiri. Perkara 2 menyatakan bahawa sempadan mana-mana negeri ditentukan oleh Parlimen tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri yang terlibat dan Majlis Raja-Raja,” kata Lim.
Katanya lagi, Ahli Parlimen Permatang Pasir Faiz Fadzil juga menegaskan bahawa menurut Perkara 2 sempadan Pulau Pinang dan Kedah telah disempadankan, dan dijadikan undang-undang di bawah Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985.
“Dengan kata lain, sempadan Pulau Pinang dan Kedah telah disempadankan, ditetapkan oleh undang-undang dan dipersetujui oleh kedua-dua negeri serta Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.”
Sementara itu, Faiz dalam satu kenyataan hari ini berkata Sanusi mendakwa Pulau Pinang milik Kedah dengan merujuk kepada sejarah lama ratusan tahun dulu.
Sanusi sering mendakwa mempunyai dokumen bagi menyokong kenyataan tersebut, namun sehingga sekarang tiada satu dokumen sahih dan berkuatkuasa disebut dan ditunjukkan, kata Faiz.
Kenyataan Sanusi itu katanya boleh menimbulkan kegelisahan kerana jelas mengelirukan masyarakat khususnya golongan muda.
“Generasi muda perlu dididik dengan ilmu dan fakta yang betul, bukannya dakwaan kosong seperti bisingnya lato-lato.”
Ahli Parlimen Amanah itu seterusnya berkata Akta Kedah Dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) digubal berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan turut dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu.
Beliau lantas mempersoalkan mengapa Sanusi tidak membantah akta tersebut ketika digubal.
“Adakah Sanusi mahu menafikan satu akta yang diluluskan secara sahih?
“Adakah Sanusi mahu dianggap mengingkari Majlis Raja-raja Melayu? Kenaifan Sanusi dalam memahami undang-undang meletakkan diri beliau tidak layak untuk terus menjawat jawatan utama pentadbiran negeri.
“Pentadbiran negeri dipandu oleh undang-undang, dan jika beliau tidak memahami undang-undang, bagaimana boleh beliau mentadbir dengan baik?” soalnya.
Faiz juga mengingatkan Sanusi bahawa sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang dibuat ketika merdeka dan pembentukan negara ini yang mengandungi negeri Kedah dan Pulau Pinang di dalam Perjanjian Persekutuan Malaya 1957. – 2 Jun 2023.
Komen