KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menjemput pengamal perubatan swasta umum (GP) di 10 daerah untuk menyertai program Skim Perubatan Madani, kata Dr Zaliha Mustafa.
Menteri kesihatan berkata GP di lokasi terbabit perlu mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani bermula hari ini dengan melayari laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.
Sepuluh daerah itu ialah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).
“Semasa pembentangan Belanjawan 2023, perdana menteri mengumumkan Skim Perubatan Madani sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan.”
“Skim Perubatan Madani adalah manfaat perkhidmatan kesihatan percuma untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).”
“Ia bertujuan membantu kumpulan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di GP berhampiran, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan. Penerima boleh mendapatkan rawatan Skim Perubatan Madani mulai 15 Jun 2023,” katanya.
Zaliha berkata ProtectHealth juga akan menganjurkan sesi taklimat dan latihan dalam talian untuk GP berdaftar bagi maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan Madani.
Dalam Belanjawan 2023, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada 2022, peningkatan sebanyak 12%. – 2 Jun 2023.
Komen